Sarawak benar solat Aidiladha dengan had jemaah tertentu

Astro Awani
Julai 18, 2021 14:54 MYT
Majlis Islam Sarawak (MIS) memaklumkan bagi Masjid Jamek Negeri, had jemaah yang dibenarkan adalah tidak melebihi 500 orang. - Astro AWANI
KUCHING: Sarawak membenarkan pelaksanaan solat sunat Aidiladha pada 20 Julai ini dengan had jemaah ditetapkan mengikut kategori masjid dan surau bagi mengelak penularan pandemik COVID-19.
Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam satu kenyataan berkata kebenaran untuk mengadakan solat sunat Aidiladha dan takbir raya di masjid dan surau di Sarawak itu diberikan secara bersyarat.
“Di Masjid Jamek Negeri tidak melebihi 500 orang.
“Masjid di bahagian dan daerah tidak melebihi 150 orang, manakala surau tidak melebihi 70 orang jemaah,” jelas kenyataan itu.
Bagaimanapun menurut MIS, aktiviti korban tetap tidak dibenarkan seperti mana yang dimaklumkan dalam garis panduan sebelum ini.
Manakala takbir raya pula hanya dibenarkan bermula waktu Subuh 9 Zulhijjah sehingga Asar 13 Zulhijjah atau bermula Isnin hingga Jumaat ini, tidak lebih dari jam 9 malam.
Selain ibadah korban, turut tidak dibenarkan ialah jamuan selepas solat sunat Aidiladha, majlis rumah terbuka, aktiviti takbir dari rumah ke rumah dan ziarah kubur.
Bagi mereka yang berada di zon atau kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), solat sunat Aidiladha dan takbir raya di masjid atau surau tidak dibenarkan sama sekali.
#solat #Aidiladha #Sarawak #jemaah #had jemaah #pandemik #COVID-19 #Majlis Islam Sarawak
;