Sarawak belum putuskan ikut protokol KKM berkaitan SOP kontak rapat

Afiezul Samit
Februari 26, 2022 12:36 MYT
Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, perkara itu akan dibincang secara teliti bersama pakar kesihatan termasuk menilai keberkesanan mengikut situasi di Sarawak.
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak belum memutuskan sama ada melaksanakan protokol baharu pemansuhan bagi kes kontak rapat yang lengkap vaksinasi dan tidak bergejala berkuat kuasa 1 Mac ini.
Sebaliknya, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, perkara itu akan dibincang secara teliti bersama pakar kesihatan termasuk menilai keberkesanan mengikut situasi di Sarawak.
"Ini kerana situasi di Sarawak berbeza dengan Semenanjung. Di Semenanjung, terdapat 30,000 orang dijangkiti, namun mereka masih mempunyai banyak kemudahan perubatan dan hospital.
"Tetapi jika ia berlaku di Sarawak dalam jumlah yang sama, kita mungkin tidak mempunyai jumlah hospital yang mencukupi," katanya ketika ketika ditemui selepas program kitar semula di Pusat Kitar Semula, Desa Wira di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Dr Sim memberitahu, satu menyuarat bersama Pengerusi JPBN, Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan diadakan dalam masa terdekat.
"Apa sahaja keputusan, ia akan memberi kebaikan dan manfaat kepada rakyat Sarawak," ujarnya.
Dr Sim yang juga Penasihat JPBN Sarawak berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung protokol kuarantin bagi kontak rapat.
Pada 24 Februari lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam kenyataannya berkata KKM telah memutuskan individu yang menjadi kontak rapat tetapi menerima dos penggalak serta tidak bergejala, tidak perlu menjalani kuarantin berkuat kuasa 1 Mac ini.
Bagaimanapun individu berkenaan perlu menjalani ujian kendiri (RTK) pada hari pertama dan ketiga dari tarikh akhir mereka terdedah dengan kes positif berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Dr Sim berkata, kes harian COVID-19 di Sarawak dijangka terus merekodkan trend peningkatan.
Pun begitu, situasi dilihat terkawal dengan peratusan kes positif kategori tiga, empat dan lima masih rendah.
Malah masyarakat di Sarawak juga dilihat sudah mula menyesuaikan diri hidup dengan virus tersebut.
"Namun terdapat juga kes yang tidak dilaporkan kerana kita di Sarawak sangat baik. Kita sentiasa diingatkan untuk periksa diri sendiri, asing diri sendiri dan jaga diri sendiri.
"Masyarakat mula tidak melaporkan tetapi terus mengasingkan dan membuat pemantauan diri sendiri. Inilah yang kita panggil hidup dengan virus," tambahnya.
#SOP kontak rapat #JPBN Sarawak #Sarawak SOP sendiri #COVID-19
;