Sarawak belajar bagaimana Australia urus populasi buaya

Bernama
Ogos 5, 2024 05:50 MYT
Delegasi kerajaan Sarawak mengadakan lawatan kerja empat hari ke Australia untuk mengkaji kaedah sesuai bagi menguruskan populasi buaya. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUCHING: Delegasi kerajaan Sarawak diketuai Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengadakan lawatan kerja empat hari ke Australia untuk mengkaji kaedah sesuai bagi menguruskan populasi buaya.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata lawatan yang bermula pada Isnin bertujuan menganalisis ekosistem spesies buaya di Australia terutama buaya yang hidup di air masin dan air tawar.
"Kami ingin mengkaji bagaimana mereka menguruskan buaya dan kaedah pemburuan dan apa yang mereka lakukan dengan haiwan berkenaan jika perlu menghapuskan (bunuh) sambil memastikan tidak melanggar undang-undang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Kajian itu merangkumi mengkaji sungai dan sistem air di Australia untuk memastikan buaya dan haiwan lain dapat hidup dalam habitat tanpa reptilia berkenaan menimbulkan ancaman kepada manusia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kongres Herpetologi Sedunia kali ke-10 (WCH10) di sini pada Isnin.
Beliau berkata delegasi itu turut disertai Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar negeri Datuk Len Talif Salleh.
Pada November tahun lepas, Len Talif berkata berdasarkan data Perbadanan Perhutanan Sarawak, populasi buaya di negeri ini meningkat daripada kira-kira 13,500 pada 2014 kepada 24,700 dalam tempoh sembilan tahun.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis pelancaran kongres berkenaan Abang Johari berkata selama dua tahun lepas, kerajaan Sarawak mendokumentasikan 18 spesies baharu yang 12 daripadanya terdiri spesies katak.
Beliau turut menyuarakan harapan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melalui Institut Biodiversiti dan Pemuliharaan Alam Sekitar akan memainkan peranan lebih penting dalam pemuliharaan biodiversiti dan alam sekitar terutama dalam penyelidikan, inovasi dan inisiatif strategik di seluruh rantau ini.
WCH10 yang berlangsung hari ini hingga 9 Ogos menarik 1,400 delegasi antarabangsa daripada 70 negara untuk membincangkan pelbagai topik seperti kemajuan terkini serta usaha pemuliharaan global berkaitan reptilia dan amfibia.
-- BERNAMA
#Sarawak #Australia #urus populasi buaya #Awang Tengah Ali Hasan
;