Sarawak bekerjasama dengan pakar Australia tangani kemerosotan industri perkayuan
Fadilah Sulaiman
November 23, 2020 15:43 MYT
November 23, 2020 15:43 MYT
KUCHING: Sarawak akan bekerjasama dengan syarikat pakar perunding pengurusan hutan dan perhutanan global dari Australia, Margules Groome bagi membantu industri perkayuan yang merundum akibat pandemik COVID-19.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, syarikat tersebut akan membantu kerajaan negeri dalam menyediakan Pelan Induk Industri Perkayuan Sarawak bagi merancakkan industri itu.
Beliau menjelaskan, antara faktor kemerosotan industri perkayuan Sarawak adalah disebabkan peningkatan kos pembuatan, harga yang tidak kompetitif serta ketidakpastian pasaran dan ekonomi dunia.
"Atas faktor ini paling ketara Malaysia kehilangan kedudukan pasaran industri perkayuan kepada Indonesia dari segi import papan lapis ke Jepun bagi tahun 2020," katanya pada sidang media di Kuching.
Ujarnya lagi, pelan induk tersebut akan memberi fokus dalam membawa hala tuju industri perkayuan Sarawak ke arah pembangunan produk nilai tambah tinggi selari dengan objektif Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) pasca COVID-19.
Tambah Awang Tengah, pelan induk itu juga disasarkan selaras Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi mencapai pendapatan eksport RM8 bilion menjelang tahun 2030.
“Antara yang menjadi tumpuan adalah penerapan teknologi maju dan automasi dalam industri kayu untuk mencapai kadar pemulihan yang tinggi, produktiviti tinggi, kecekapan kos dan meningkatkan daya saing," katanya.
#Industri Perkayuan
#Awang Tengah Ali Hasan
#Timbalan Ketua Menteri
#Sarawak industri kayu
#pakar perunding asing
#Margules Groome