Sarawak bakal buka Pejabat Perdagangan di Pontianak dan Brunei

Nuzuluddin Abdul Razak
Oktober 25, 2020 20:07 MYT
Dua lagi pejabat perdagangan Sarawak akan dibuka di Pontianak Kalimantan, Indonesia dan di Brunei Darussalam.
KUCHING: Selepas kejayaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak-Singapura (STATOS), ekonomi perdagangan sumber tenaga asli serta hasil pertanian Sarawak akan terus diperkasa.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mendedahkan dua lagi pejabat perdagangan Sarawak akan dibuka di Pontianak Kalimantan, Indonesia dan di Brunei Darussalam.
Jelasnya, hubungan bilateral antara negara-negara terbabit akan meningkatkan identiti Sarawak sebagai rakan dagang pada satu tahap yang lebih baik.
“Hubungan dagangan kita dengan Kalimantan begitu baik kerana mereka percaya dengan kita. Justeru ia membolehkan kita untuk membuka pejabat perdagangan Sarawak di Pontianak.
“Selain Pontianak, kita juga ada pejabat di Brunei Darusslam dan kita akan berkolaborasi dalam aspek pertanian termasuk dalam industri ternakan kerbau," katanya semasa berucap dalam Konvensyen Pari Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Menyentuh soal dagangan tenaga asli, Abang Johari memberitahu Sarawak akan mengeluarkan Gas LPG sendiri menggunakan jenama Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) bermula Februari 2021.
“Jika tiada aral melintang, bulan Februari kita akan ada Gas LPG kita sendiri bernama PETROS LPG, tong gas tersebut berwarna merah, tidak sama dengan Petronas," jelasnya.
#Statos #Pejabat Perdagangan Sarawak #Pontianak #Brunei Darussalam #Perdagangan dan Pelancongan Sarawak #Abang Johari Tun Openg #Ketua Menteri Sarawak
;