Sarawak bakal ambil alih MASwings bulan depan

Bernama
November 24, 2024 00:08 MYT
Sarawak dijangka memuktamadkan perjanjian jual beli untuk MASwings, anak syarikat penerbangan serantau Malaysia Aviation Group (MAG) bulan depan, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg. - Gambar fail/FB MASwings
KUCHING: Sarawak dijangka memuktamadkan perjanjian jual beli untuk MASwings, anak syarikat penerbangan serantau Malaysia Aviation Group (MAG) bulan depan, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata penubuhan syarikat penerbangan Sarawak tersebut bertujuan mempromosikan negeri itu kepada komuniti perniagaan dan pelancong.
"Dengan lapangan terbang yang dibangunkan dengan baik, keseluruhan ekosistem di Sarawak akan bersedia, membolehkan kita berdaya saing dengan destinasi lain.
"Matlamat ini dijangka dapat dicapai menjelang 2035 sambil kita terus mencapai kemajuan dalam pembangunan bidang lain," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Sarawak di sini, malam ini.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata rundingan masih dijalankan antara MASwings dan kerajaan Sarawak.
Menurut Loke, rundingan juga sedang dilakukan dengan MAG dan Khazanah Nasional Bhd berhubung pembelian saham dalam MASwings.
-- BERNAMA
#Sarawak #ambil alih #MASWings #Abang Johari Tun Openg
;