Sarawak aktifkan semula pusat transit gelandangan di Sibu
Azizah Alwi
Januari 28, 2021 13:01 MYT
Januari 28, 2021 13:01 MYT
KUCHING: Kerajaan negeri mengaktifkan semula pusat transit sementara bagi menempatkan gelandangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Bahagian Sibu.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan, Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pusat transit sementara yang menggunakan rumah rehat kerajaan di bahagian itu dibuka bertujuan untuk mematuhi arahan PKP sekali gus mengelak penularan COVID-19 dalam kalangan gelandangan dan masyarakat.
Selain penyediaan makanan dan keperluan asas, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak membuat saringan kesihatan ke atas semua gelandangan yang dibawa ke pusat transit tersebut.
"Kita telah mengaktifkan semula tempat transit gelandangan di Sibu iaitu di sebuah rumah rehat kerajaan. Kita akan menempatkan gelandangan yang kita rasa selamat di situ.
"Sepanjang tempoh PKP ini, semua orang tidak dibenarkan bergerak sesuka hati termasuk juga gelandangan. Mereka akan tinggal di rumah rehat kerajaan itu sehingga tamat PKP," katanya ketika mengetuai operasi tinjauan gelandangan di Kuching pada malam Rabu.
Tambah Fatimah, pembukaan pusat transit untuk gelandangan di Sibu yang dijadualkan pada Februari ini terpaksa ditangguhkan ekoran PKP selain masih dalam proses pengubahsuaian bangunan.
"Pusat transit ini jika siap kelak akan menyediakan kemudahan kepada golongan ini. Tempat tidur dan rehat, ruang bilik mandi dan sebagainya.
"Makanan juga disediakan selain khidmat kesihatan dan kaunseling untuk membantu mereka," katanya.
Selain di Sibu, ujar Fatimah, sebuah lagi pusat transit untuk gelandangan juga akan dibina di Kuching dan perkara itu masih dalam proses kertas kerja.
#Pusat Transit Gelandangan
#Sibu
#Kerajaan Sarawak
#Menteri Kebajikan Sarawak
#Fatimah Abdullah
#gelandangan
#transit untuk gelandangan
#Sarawak
#wanita
#perintah kawalan pergerakan
#COVID-19