Sarawak akan bina Pusat Penyakit Berjangkit, mula beroperasi 2024
Bernama
Mac 17, 2021 19:03 MYT
Mac 17, 2021 19:03 MYT
KUCHING: Sarawak akan memiliki Pusat Penyakit Berjangkit (SIDC) sendiri tidak lama lagi yang akan dibina di koridor Kuching-Samarahan.
Majlis Pembangunan dan Penyelidikan Sarawak (SRDC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembangunan pusat itu bertujuan untuk memastikan kesiapsiagaan Sarawak dalam menghadapi wabak dan menerajui usaha memerangi wabak, pada masa depan.
"Projek ini diharapkan dapat dimulakan segera kerana terdapat keperluan mendesak untuk pusat ini yang akan beroperasi pada 2024.
"Tapak projek ini dijangka bersebelahan dengan Pusat Jantung Sarawak bagi memastikan sinergi antara kedua-dua agensi serta menyediakan kemampuan meningkatkan kapasiti diagnostik serta katil hospital sekiranya berlaku pandemik dengan ruang yang dapat menampung 1,000 katil pesakit," menurut kenyataan itu.
Arahan untuk membina pusat berkenaan diumumkan Ketua Menteri yang juga Pengerusi SRDC Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 24 Nov tahun lalu dan rancangan ini telah mendapat kelulusan Kabinet Negeri Sarawak ketika mesyuarat pada Februari tahun ini.
"Pusat ini akan menjadi fasiliti kajian di SRDC dan matlamatnya adalah untuk melindungi Sarawak menerusi usaha penyelidikan penyakit berjangkit, melengkapkan Sarawak dengan kemampuan dan kapasiti untuk menguji terapi, vaksin dan peralatan terhadap agen berjangkit, dan membolehkan Sarawak untuk mengesan, mendiagnosis dan meramalkan kemungkinan wabak penyakit berjangkit," kata SRDC.
Pusat ini juga akan menjadi pelengkap dan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menangani isu penyakit berjangkit di Sarawak.
Menurutnya, pusat ini akan menghimpunkan bakat-bakat di peringkat wilayah dan antarabangsa serta menarik syarikat-syarikat bioperubatan global bagi memastikan kesiapsiagaan Sarawak menghadapi cabaran masa depan selain menyediakan peluang kepada rakyat Sarawak yang berbakat untuk berkhidmat di negeri ini dan memacu pembangunan modal insan dalam sains bioperubatan.
-- BERNAMA
#Sarawak
#Pusat Penyakit Berjangkit
#Majlis Pembangunan dan Penyelidikan Sarawak
#Ketua Menteri
#Kementerian Kesihatan
#kabinet
#kesihatan
#vaksin
#penyakit berjangkit