Sarawak akan beri bantuan terbaik selamatkan Kho Jabing dari tali gantung - Nancy
Bernama
November 10, 2015 15:33 MYT
November 10, 2015 15:33 MYT
Kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik bagi membantu Kho Jabing yang kini berdepan hukuman mati di Singapura kerana membunuh warga China, Cao Ruyin pada 2007.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata beliau mengadakan pertemuan dengan ketua menteri Tan Sri Adenan Satem hari ini bagi mengenal pasti tindakan yang boleh dilakukan bagi menyelamatkan rakyat Sarawak itu.
Beliau memberitahu media selepas merasmikan majlis konvokesyen 154 murid prasekolah dari Bahagian Kuching, Samarahan dan Sri Aman yang menghadiri kelas SeDidik Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak.
"Kerajaan persekutuan sudah melakukan yang terbaik dan menggunakan semua saluran untuk meringankan hukuman. Sekarang, terpulang kepada kerajaan negeri untuk melakukan yang terbaik," ujarnya.
Jabing, 31, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana membunuh Cao, 40.
Bagaimanapun pada 2014 Mahkamah Tinggi Singapura telah mengkaji semula kes serta menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 24 sebatan.
Pihak pendakwa raya telah merayu semula terhadap hukuman tersebut di Mahkamah Rayuan yang memutuskan untuk mengekalkan hukuman mati ke atas Kho.
Dia dijadualkan menjalani hukuman gantung sampai mati pada Jumaat lalu tetapi diberi kebenaran untuk menangguh hukuman pada Khamis.
Mahkamah Rayuan memberi tempoh kepada pasukan peguam bela sehingga 23 November bagi mengemukakan Usul Krisis untuk kes tersebut disebut semula.
Dalam berkembangan lain Nancy berkata rakyat diminta tidak menyebarkan khabar angin yang menyentuh isu perkauman dan agama serta cerita politik di sosial media yang boleh mencetuskan kekacauan.
"Saya sendiri telah menjadi sasaran..saya sudah membaca sendiri tulisan tidak baik mengenai diri saya dikitar semula awal minggu ini selepas dua tahun ia muncul pertama kali di media sosial.
"Saya percaya ia menjadi kebiasaan di negara ini dan menjadi sebahagian risiko yang perlu dihadapi oleh ahli politik teruamanya yang berada di persekutuan," katanya.
Sehubungan itu beliau meminta rakyat tidak mudah terpedaya dengan apa yang mereka lihat dan baca di media sosial.