Sarawak ada potensi besar dalam sektor tenaga boleh baharu - Rafizi

Bernama
Jun 24, 2023 09:08 MYT
Rafizi (tengah) memberi penerangan kepada anggota pentadbiran kerajaan negeri dan sesi dialog bersama pihak awam pada Majlis Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 bersama Kerajaan Sarawak hari ini. - Bernama
KUCHING: Sarawak mempunyai potensi terbesar dalam negara ini untuk membangunkan sektor tenaga boleh baharu, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau berkata agenda peralihan tenaga yang menjadi tumpuan kerajaan Sarawak ketika ini juga adalah seiring dengan kerajaan Persekutuan terutama dalam membina kedudukan Malaysia sebagai peneraju peralihan tenaga serantau.
Beberapa keputusan yang dibuat di peringkat Persekutuan setakat ini juga telah membolehkan kerajaan Sarawak mempercepat beberapa projek besar di negeri ini.
"(Projek besar itu) termasuk usaha mengeksport tenaga boleh baharu (secara) rentas sempadan serta penyerapan dan penyimpanan karbon (CCS)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) bersama kerajaan Sarawak di sini, pada Sabtu.
Pada 31 Mei lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata tenaga hidro akan masih menjadi tumpuan utama sumber tenaga Sarawak.
Beliau berkata sumber asli negeri yang banyak terutama daripada hujan yang lebat dan sungai menawarkan persekitaran terbaik untuk pembangunan tenaga boleh baharu seperti tenaga hidro.
-- BERNAMA
#Sarawak #Tenaga Boleh Diperbaharui #sektor tenaga #Rafizi Ramli