Sarawak ada kemampuan, mahu jadi 'ASEAN Powerhouse' untuk tenaga bersih - Abang Johari

Firdaus Azil
Oktober 19, 2024 17:22 MYT
Dengan rangkaian grid elektrik, khususnya daripada tenaga boleh diperbaharui yang kukuh, Abang Johari berkata, adalah menjadi visi dan misi Kerajaan Sarawak untuk menjadikan wilayah ini sebagai hab untuk ASEAN.
KUALA LUMPUR: Sarawak berhasrat untuk menjadi kuasa besar ASEAN dalam sektor pembekalan tenaga elektrik, selepas mengambil kira kemampuannya mengeluarkan tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen dan solar apung.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, data daripada ASEAN Centre or Energy menunjukkan negara-negara ASEAN hanya mengeluarkan tenaga bersih sekitar 15.6 peratus, jauh daripada yang ditetapkan, iaitu 23 peratus menjelang 2025.
Justeru, beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan meningkatkan kemampuan pembekalan elektrik daripada tenaga bersih, memandangkan 70 peratus tenaga elektrik yang digunakan di wilayah itu datang daripada sumber hidro, berbanding hanya 30 peratus daripada gas dan arang batu.
“Empangan Batang Ai mengeluarkan 108MegaWatt (MW) dan Batang Ai ada anak-anak sungai begitu besar, tetapi kita hanya menggunakan 3 peratus sahaja untuk solar apung (floating solar) dan elektrik yang dikeluarkan menggunakan 86 hektar sahaja.
“Bayangkan kalau kita gunakan floating solar (lebih meluas), kita ada Batang Ai, Bakun, Baleh, dan kita unjurkan menjelang 2035, kita boleh menghasilkan tenaga elektrik sebanyak 15 Gigawatt, itu hanya bersumberkan solar dan air.
“Sebelum itu lagi kita telah keluarkan gas. Kalau kita gunakan turbin gas, sekarang perancangan kita, di Bintulu kita akan mengeluarkan 1.5GW menggunakan gas. Miri akan mengeluar 500 additional MW, dan kalau kita gunakan tenaga di mana majoritinya masih lagi hidro yang boleh diperbaharui, maka Sarawak InsyaAllah akan menjadi the ‘powerhouse’ of ASEAN,” katanya lagi.
Abang Johari berkata, selain penyambungan tenaga elektrik boleh diperbaharui kepada ASEAN Grid, Sarawak berhasrat untuk membekalkan maksimum 1GW masing-masing kepada Semenanjung Malaysia dan Singapura, selain membekalkan elektrik kepada Kalimantan Barat dan Nusantara di Indonesia.
Beliau berkata demikian dalam sesi Townhall Siswa Siswi Sarawak bersama Premier bertajuk ‘Memperkasa Ekonomi Baru Sarawak’ sempena program Lan Berambeh Anak Sarawak 2024 di ibu negara pada Sabtu.
Dengan rangkaian grid elektrik, khususnya daripada tenaga boleh diperbaharui yang kukuh, Abang Johari berkata, adalah menjadi visi dan misi Kerajaan Sarawak untuk menjadikan wilayah ini sebagai hab untuk ASEAN.
Justeru, tegasnya lagi, adalah menjadi harapan Kerajaan Sarawak untuk melihat peningkatan tenaga pakar yang terdiri daripada anak-anak Sarawak dalam bidang berkaitan tenaga elektrik, dan juga kecerdasan buatan (AI).
Dengan penumpuan kepada sektor tenaga elektrik boleh diperbaharui, Abang Johari berkata, sudah pasti ia dapat menjana ekonomi Sarawak yang lebih kukuh, dan seterusnya memberi peluang kepada Kerajaan Negeri untuk terus memacu pembangunan dan agenda sosial buat Sarawak.
#Abang Johari Tun Openg #tenaga elektrik diperbaharui #ASEAN #Sarawak
;