Saravanan sokong cadangan presiden MIC bagi pemilihan baharu

Bernama
Februari 3, 2015 16:41 MYT
Arahan itu susulan dakwaan wujud perkara yang melanggar peraturan dalam pemilihan pada mesyuarat Agung MIC ke-68 di Melaka, pada 30 Nov 2013. - Gambar Fail
Atas semangat perayaan Thaipusam, Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan mengetepikan kemelut politik MIC dan bersetuju dengan cadangan presiden parti bagi pemilihan semula parti peringkat pusat.
Beliau berkata demi kelangsungan parti dan perpaduan kaum India, cadangan presiden Datuk Seri G.Palanivel itu dilihat sebagai satu keputusan yang tepat.
Bagaimanapun sekiranya bagi pemilihan semula itu nanti beliau mendapat mandat daripada ramai anggota MIC, Saravanan berkata beliau berkemungkinan bertanding jawatan timbalan presiden atau presiden.
"Saya akan bincang dengan penyokong saya, mana tahu mungkin saya pergi untuk bertanding timbalan atau presiden semua terpulang kepada penyokong saya," katanya ketika ditemui pemberita di Kuil Sri Subramaniyar Swamy di Batu Caves di sini, hari ini.
Terdahulu Saravanan bersama-sama pemimpin MIC termasuk Palanivel menyambut kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor bagi tinjauan mesra sambutan Thaipusam.
Perbezaan pendapat timbul dalam MIC selepas Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 5 Dis lepas mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam tempoh 90 hari.
Arahan itu susulan dakwaan wujud perkara yang melanggar peraturan dalam pemilihan pada mesyuarat Agung MIC ke-68 di Melaka, pada 30 Nov 2013.
Awal bulan ini, Palanivel mengumumkan partinya akan mengadakan pemilihan baharu terhadap semua jawatan di dalam parti itu.
Sementara itu, Datuk Seri S. Samy Vellu yang pernah menerajui parti kaum India itu selama 31 tahun sejak 1981, berkata krisis dalaman parti wajar diselesaikan dengan segera untuk mengelak perpecahan lebih kronik sehingga menyebabkan perpaduan di dalam parti berkecai.
Beliau meluahkan kerisauannya terhadap solidariti parti yang kini dilihat kurang kuat berbanding sebelumnya.
"Saya lihat kekuatan MIC kian merosot, jika mereka tidak memgambil sebarang tindakan, MIC akan hilang kekuatannya, apabila MIC hilang kekuatannya, masyarakat India akan meninggalkan MIC," katanya sambil berharap masa depan parti itu terus terbela.
#kuil sri subramaniyar swamy #M.Saravanan #Thaipusam
;