Saravanan: Nasib belia India diperjuangkan menerusi NAAM
Bernama
Februari 10, 2014 09:01 MYT
Februari 10, 2014 09:01 MYT
Nasib belia India di negara ini akan diperjuangkan menerusi Gerakan Tindakan Afirmatif Baharu (NAAM), kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan (gambar).
Beliau berkata dalam usaha mencapai matlamat memperkasa ekonomi belia dan beliawanis India itu, NAAM bersedia menerima pandangan pelbagai pihak tanpa mengira ideologi mereka.
"Ahli politik dan pemimpin pelbagai parti yang mewakili masyarakat India berjumpa hari ini (untuk NAAM)," katanya yang juga pengasas NAAM kepada pemberita selepas berucap pada majlis penerangan gerakan itu di sini.
NAAM yang dilancarkan pada November lepas, menyasarkan untuk memperkasa ekonomi 100,000 belia dan beliawanis India di seluruh negara dalam jangka masa empat tahun (2013-2017).
Anggota Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran yang menghadiri majlis penerangan itu berkata pihaknya bersedia memberi kerjasama untuk memajukan belia India di negara ini.
Sambil memuji langkah penubuhan NAAM, pemimpin DAP itu berkata beliau berminat dengan idea gerakan itu kerana ia menjadi medium untuk membantu masyarakat India.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai Pengerusi Hindu Rights Action Force (Hindraf) P Waytha Moorthy yang akan meletakkan semua jawatan kerajaan dan Dewan Negara esok, Saravanan berkata Barisan Nasional (BN) perlu lebih teliti sebelum menjalinkan sebarang perikatan dengan mana-mana parti politik pada masa depan.
Hindraf menandatangani satu memorandum persefahaman dengan kerajaan pada 18 April tahun lepas dalam usaha menyelesaikan masalah sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.