Saravanan cabar Palanivel buat surat akuan bersumpah

T K Letchumy Tamboo
Februari 17, 2015 19:11 MYT
Datuk M. Saravanan hari ini mencabar Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel untuk membuat surat akuan bersumpah (SD) bahawa tiada cawangan-cawangan parti itu yang ditubuhkan secara haram pada tahun pemilihan parti 2013. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Naib Presiden MIC, Datuk M. Saravanan hari ini mencabar Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel untuk membuat surat akuan bersumpah (SD) bahawa tiada cawangan-cawangan parti itu yang ditubuhkan secara haram pada tahun pemilihan parti 2013.
“Saya cabar Presiden, bolehkan dia buat SD, bahawa tiada cawangan-cawangan ditubuhkan pada 2013. Saya cabar. Cuba buat kalau berani,” itulah cabaran yang dilemparkan oleh Saravanan kepada Palanivel.
Saravanan berkata demikian semasa mengulas mengenai kenyataan RoS sebelum ini yang mendapati beberapa cawangan baharu diwujudkan pada tahun pemilihan MIC dan cawangan baharu berkenaan telah mengambil bahagian dalam proses pemilihan presiden, bahagian dan pusat.
Saravanan juga mengkritik tindakan Palanivel yang mengumumkan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas RoS.
“Mana ada seorang Menteri Kabinet serang agensi kerajaan dia sendiri mahu bawa kes ke mahkamah.
“Kita tidak menyokong Palanivel bawa mahkamah,” katanya semasa satu sidang media di sini hari ini.
Semasa menyentuh tentang persolan bahawa beberapa mesyuarat yang diadakan oleh jawatankuasa interim itu tidak sah seperti dakwaan sesetengah pihak, Saravanan menafikan perkara itu.
“RoS telah berkata Jawatankuasa Interim 2009 MIC adalah sah dan jawatankuasa ini sedang mendengar arahan RoS.
“Sehingga kini inilah arahan terkini. Tiada kuasa untuk mana-mana pihak melantik atau memecat sesiapa. Jika nak melantik atau memecat, ketepikan arahan itu dahulu.
“Sehingga arahan ini dibatalkan, inilah arahan muktamad.
“Mesyuarat yg diadakan dalam MIC bukan haram, hanya ikut arahan RoS,” katanya.
Saravanan berkata jawatanjuasa itu telah bermesyuarat pertama kali pada 13 Februari dan telah memutuskan untuk mendengar arahan RoS.
Beliau menambah mesyuarat kedua akan diadakan tidak lama lagi.
#MIC #MIC krisis #Palanivel #Saravanan
;