Sarang lebah kurang di Semenanjung, racun perosak antara punca kepupusan

Bernama
Mei 19, 2024 11:30 MYT
Lebah kini berada dalam senarai spesies terancam dan dianggarkan tahap kemusnahan serangga itu telah meningkat 42 peratus. - Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Meskipun ramai yang takut dengan lebah kerana sengatannya yang menyakitkan, namun serangga itu mempunyai peranan penting dalam ekosistem khususnya dalam bio-kepelbagaian dan keseimbangan alam sekitar.
Bagaimanapun lebah kini berada dalam senarai spesies terancam dan dianggarkan tahap kemusnahan serangga itu telah meningkat 42 peratus.
Pegawai Pendidikan Kanan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) N.V.Subbarow berkata ketika ini amat sukar untuk menemukan sarang lebah di Semenanjung, malah ramai pemelihara lebah tradisional sendiri mengakui bahawa koloni lebah juga semakin berkurangan.
Beliau berkata penggunaan racun perosak pada tanaman, baja sintetik, tanaman yang diubah suai secara genetik dan perubahan iklim merupakan antara punca utama populasi lebah di negara ini semakin berkurangan.
"Penggunaan racun perosak secara berleluasa mengancam kehidupan lebah hingga menyebabkan bilangannya semakin berkurangan di samping pembangunan tanah secara tidak terancang, yang turut memberi kesan terhadap habitat spesis serangga yang mesra pendebunga itu," katanya kepada Bernama sempena Hari Lebah Sedunia yang disambut esok.
Subbarow menjelaskan sebahagian besar lebah telah kehilangan sumber makanan yang diperlukan untuk terus hidup dan punca utamanya adalah disebabkan penggunaan bahan kimia dalam racun makhluk perosak dan baja tiruan yang boleh menjejaskan sistem saraf serangga tersebut.
"Kepentingan lebah tidak boleh dinafikan kerana ia bertanggungjawab kepada 90 peratus bekalan makanan dunia. Kira-kira 70 daripada 100 tanaman penting untuk makanan manusia, yang membekalkan sehingga 90 peratus pemakanan dunia, didebungakan oleh lebah," katanya.
Sehubungan itu beliau menyarankan masyarakat supaya mengadakan lebih banyak ladang organik kerana ia cenderung menyokong kepelbagaian biologi yang lebih tinggi dan kesihatan lebah yang lebih baik sekali gus mencegah kepupusan lebah.
Selain itu, beliau turut mencadangkan untuk menanam beberapa tanaman makanan sendiri tanpa menggunakan racun makhluk perosak dan baja sintetik selain sayuran berbunga, buah-buahan dan herba juga dapat menarik lebah.
Dalam usaha memberi kesedaran mengenai kepentingan menyelamatkan lebah, CAP turut turun padang mengadakan sesi ceramah di beberapa sekolah termasuk Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Pengkalan Hulu, Perak yang dihadiri 100 orang murid dan guru dari tiga sekolah di sekitarnya.
Hari Lebah Sedunia disambut 20 Mei setiap tahun bagi mengikitiraf peranan lebah dan pendebunga yang lain dalam ekosistem. Dianggarkan lebih 16,000 spesies lebah dikenal pasti dalam tujuh keluarga biologi di seluruh dunia yang mempunyai tumbuhan berbunga kecuali di Antartika.
-- BERNAMA
#sarang lebah #racun perosak #spesies terancam #perubahan iklim
;