SAR warga emas sukar, buaya banyak - Bomba
Rohana Wahed
Mei 15, 2018 15:21 MYT
Mei 15, 2018 15:21 MYT
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang warga emas yang dikhuatiri lemas di Batang Samarahan berhadapan risiko besar, kerana kawasan tersebut dikenal pasti memiliki populasi buaya yang banyak.
Malah penduduk kampung sering melihat kelibat sang bedal itu, yang tidak takut akan kehadiran manusia yang lalu lalang di kawasan tersebut dengan menaiki feri.
"Inilah halangan terbesar kita dalam operasi pada kali ini. Namun ia tidak akan menghalang usaha kita menjalankan operasi SAR, dan pasukan penyelam Penyelamat Di Dalam Air (PPDA) kita bersedia untuk melaksanakan tamggungjawab, jika telah mengenal pasti lokasi berpotensi," kata komander operasi, yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan, Jackson Anyia.
Dalam kejadian pagi semalam, Bernabas Lias Jalal, 77 tahun, hilang selepas cuba menahan kenderaan pacuan empat rodanya daripada terjunam ke dalam sungai ketika feri yang dinaikinya dari Samarahan ke Asajaya sedang bergerak.
Tindakan itu gagal, apabila Bernabas ikut serta jatuh sebelum lenyap.
Jackson berkata, operasi SAR hari ini diperluas sehingga menjangkau lima kilometer radius dari lokasi mangsa jatuh.
"Kita kini sedang melaksanakan operasi pencarian permukaan dengan menggunakan besi cakar.
"Sehingga jam 11.30 pagi tadi, kami telah menemui beberapa petunjuk baharu, berdasarkan tompokan minyak diesel di beberapa kawasan tidak jauh dari lokasi sasaran," katanya.
Mangsa dipercayai masih terperangkap di dalam kenderaannya. Maklumat awal daripada keluarga mangsa memaklumkan Bernabas pandai berenang.
Malah ketika kejadian tingkap kenderaannya dalam keadaan terbuka.
#Bernabas Lias Jalal
#bomba
#diesel
#hilang
#keluarga
#lemas
#mangsa
#minyak
#operasi
#pencarian
#warga emas