SAR warga emas hilang dibawa arus deras disambung pagi tadi
Ifti Femida
Mac 30, 2022 11:37 MYT
Mac 30, 2022 11:37 MYT
CAMERON HIGHLANDS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga emas yang dipercayai hilang dibawa arus deras dalam banjir kilat dekat Kampung Sungai Ubi, di sini, disambung pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pasukan SAR telah dibahagi kepada tiga sektor pencarian selain turut menggunakan khidmat jentolak bagi kerja-kerja mengalihkan sisa kayu di dalam sungai.
"Operasi pencarian dilakukan dengan cara menelusuri tebing sungai bermula dari tempat terakhir mangsa berada sehingga ke air terjun.
"Pasukan anjing pengesan K9 bomba juga dikerahkan ke lokasi bagi membantu operasi," katanya, di sini, hari ini.
Beliau berkata kira-kira 50 anggota penyelamat daripada bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan penduduk kampung telah menyertai operasi yang masuk hari kedua.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang semalam, mangsa Mariam Bertapan, 62, bersama tiga lagi wanita sedang menyeberang sungai sebelum dia dibawa arus deras.
Difahamkan ketika kejadian, kawasan berkenaan menerima hujan lebat dalam tempoh kira-kira sejam.