SAR seorang lagi kanak-kanak dikhuatiri lemas di Ukay Perdana ditangguhkan

Bernama
Februari 11, 2023 22:59 MYT
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi kanak-kanak yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, ditangguhkan berikutan keadaan gelap di lokasi kejadian. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi kanak-kanak yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, di sini, ditangguhkan berikutan keadaan gelap di lokasi kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis berkata SAR ditangguhkan pada 9 malam ini dan bersambung 7.30 pagi esok.
Beliau berkata pencarian Muhammad Riqullah Mohd Shafie berusia 10 tahun itu akan difokuskan di tepi tebing sungai.
"Semasa kejadian, dua mangsa berkenaan dipercayai bermain air berhampiran longkang berkenaan bersama tiga lagi rakannya," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Petang tadi, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemukan lemas dipercayai hanyut dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ampang, di sini.
Mangsa dikenali sebagai Wan Muhammad Ammar Wan Mohd Noor Hafizan.
-- BERNAMA
#kanak-kanak lemas #Ukay Perdana #SAR ditangguhkan #Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor
;