SAR kapal korek pasir diteruskan hari kedua
Astro Awani
Mac 22, 2018 09:56 MYT
Mac 22, 2018 09:56 MYT
Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) kapal korek pasir yang dilaporkan terbalik di perairan Parit Jawa, di sini pagi semalam, disambung semula sejurus ketibaan pasukan penyelamat KD Mahameru milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Lumut, Perak sekitar jam 7 pagi tadi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Batu Pahat, Leftenan Komander Maritim Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata, setakat ini, kerja-kerja mengikat tali pada kapal berkenaan sedang giat dilakukan bertujuan memastikan kapal berada dalam keadaan stabil.
Menurutnya, kaedah itu bagi membolehkan proses mengepam udara untuk kapal terbabit mendapat ruang pengudaraan yang lebih luas bagi mengurangkan risiko mangsa yang terperangkap.
Ujarnya, seramai 23 penyelam dari KD Mahameru serta lapan penyelam profesional persendirian telah bersama-sama menyertai operasi berkenaan.
Usai operasi mengepam udara, para penyelam akan masuk ke dalam kapal dan tindakan menyelamat terus dilakukan bagi menyelamatkan 14 mangsa yang dipercayai terperangkap di bawah kapal berkenaan.
Tambahnya, TLDM turut menghantar lebih 100 kekuatan anggota untuk melakukan SAR di permukaan selain bantuan pasukan penyelamat di air dari Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pasukan Polis Marin (PPM).
Menurut beliau, jangkaan masa untuk kaedah berkenaan tidak dapat diputuskan ekoran keadaan laut bergelora.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan, sebuah kapal mengorek pasir JB Ring Chang 8 yang membawa 18 anak kapal terbalik di kedudukan 8.5 batu nautika dari jeti nelayan Pantai Leka, Parit Jawa, sekitar 7.50 pagi semalam.
Tiga mangsa ditemui selamat, seorang lemas manakala 14 lagi masih terperangkap.
#Batu Pahat
#bomba
#kapal korek
#lemas
#Malaysia
#mangsa
#maritim
#Muar
#muhammad zulkarnain abdullah
#operasi
#tentera
#TLDM