SAR kapal korek: Mangsa kedua dijumpai selamat
Raffi Bachik
Mac 23, 2018 17:34 MYT
Mac 23, 2018 17:34 MYT
Seorang lagi kru yang terperangkap di bawah kapal korek pasir yang dilaporkan terbalik di perairan Parit Jawa, Muar, Rabu lalu dijumpai selamat.
Mangsa dibawa naik ke jeti pangkalan nelayan Pantai Leka, Parit Jawa sekitar 4 petang tadi menggunakan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Mangsa dipercayai ditemukan pasukan penyelamat di bahagian dalam kapal berkenaan dan usaha mengesan mangsa yang lain sedang giat dijalankan.
Identiti mangsa kedua ini walau bagaimanapun masih belum dikenal pasti.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar (HPSF) untuk menerima rawatan.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan, sebuah kapal korek pasir JBB Rong Chang 8 yang membawa 18 anak kapal terbalik di kedudukan 8.5 batu nautika dari jeti nelayan pantai Leka, Parit Jawa, sekitar 7.50 pagi Rabu.
Tiga mangsa ditemukan selamat pada hari kejadian, seorang lemas, manakala 14 lagi terperangkap.