SAR jumpa dua lagi mayat mangsa kapal korek terbalik

Raffi Bachik
Mac 24, 2018 12:48 MYT
Dua mayat berkenaan, telah dibawa naik ke jeti Jeti Nelayan Pantai Leka Parit Jawa pada jam 11.10 pagi dan 12 tengahari tadi. - Foto Astro AWANI
Anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini menemui dua lagi mayat, dipercayai antara mangsa kejadian kapal korek pasir JBB Rong Chang 8 yang dilaporkan terbalik di perairan Parit Jawa Muar, baru-baru ini.
Dua mayat berkenaan, telah dibawa naik ke Jeti Nelayan Pantai Leka Parit Jawa pada jam 11.10 pagi dan 12 tengahari tadi.
Astro AWANI difahamkan, seorang mangsa ditemui terapung di dalam kapal, manakala seorang lagi ditemui di lautan, dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, untuk proses bedah siasat.
Buat masa kini, pasukan SAR masih menggunakan opsyen pertama iaitu menyelam ke dalam kapal berkenaan bagi mengesan sembilan lagi krew kapal yang masih hilang.
Operasi itu turut disokong tinjauan udara oleh helikopter pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Kapal korek itu, yang membawa 18 anak kapal, dilaporkan terbalik di kedudukan 8.5 batu nautika dari Jeti Nelayan Pantai Leka, Parit Jawa, sekitar 7.5- pagi, Rabu lepas.
Sehingga hari ini, lima dilaporkan selamat, manakala empat (termasuk hari ini) disahkan maut.
#APMM #Astro Awani #hilang #JBB Rong Chang 8 #Kapal korek pasir #maut #Muar #operasi
;