SAR bagi kru AS yang masih hilang diteruskan
Bernama
Ogos 23, 2017 07:50 MYT
Ogos 23, 2017 07:50 MYT
Kawasan pencarian yang diliputi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pelbagai agensi diketuai oleh Singapura diperluaskan lagi kepada 5,524 km persegi pada Rabu, daripada 2,620 km persegi pada Selasa, menurut Penguasa Maritim dan Pelabuhan (MPA).
Dalam perkembangan terkini usaha SAR, MPA berkata usaha mencari yang diselaraskan dengan Amerika Syarikat, Indonesia, Malaysia dan Australia; Singapura dan Amerika Syarikat menumpukan usaha mencari di sektor tengah kawasan pencarian
Malaysia, Australia dan Indonesia, masing-masing menjalankan pencarian di sektor Baratlaut, Timurlaut,dan Selatan, kata MPA.
MPA pada Rabu berkata, operasi SAR memasuki hari ketiga untuk mencari kru USS John S McCain yang masih hilang selepas kapal pemusnah Amerika Syarikat itu berlanggar dengan sebuah kapal tangki, Alnic MC di perairan Singapura pada 21 Ogos.
"Operasi menyelam untuk mencari mangsa-mangsa yang hilang masih dijalankan," kata MPA.
MPA berkata untuk memperluaskan kawasan pencarian, Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) telah mengerahkan sebuah pesawat Fokker 50 dan pesawat C-130, serta meletakkan helikopter Super Puma dalam keadaan bersiap siaga sementara Australia menyertai operasi hari ini dengan menggunakan pesawat P3.
MPA, agensi penyelaras bagi usaha SAR berkata secara keseluruhan, lebih 300 anggota dari Singapura dikerah bagi operasi tersebut.
Pada Selasa, Pemerintah Armada Pasifik Amerika Syarikat, Laksamana Scott Swift berkata beberapa mayat telah ditemukan dan satu mayat ditemukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia.
Penyelam tentera Laut Amerika Syarikat dan Kor marin mengesan mayat-mayat itu apabila mereka memasuki kompartmen-kompartmen tertentu di bahagian kapal yang mengalami kerosakan dalam operasi mencari.
Mayat-mayat itu dipercayai antara 10 kru yang masih hilang selepas kapal pemusnah dilengkapi peluru berpandu itu berlanggar dengan kapal tangki pada pagi Isnin.
-- BERNAMA