Sapura Energy kurangkan 20 peratus pekerja sepenuh masa
Bernama
Jun 25, 2020 06:26 MYT
Jun 25, 2020 06:26 MYT
Sapura Energy akan mengurangkan kira-kira 20 peratus daripada 4,000 pekerja sepenuh masanya di serata dunia yang terdiri daripada 63 peratus berstatus kontrak manakala baki adalah petugas tetap.
Syarikat itu menggaji lebih 10,000 pekerja.
“Adalah wajar untuk menetapkan saiz organisasi yang bertepatan mengikut strategi perniagaan yang lebih fokus, jangkaan serta mengurus kitaran semula jadi industri minyak dan gas.
"Kami telah mencuba sedaya upaya untuk menangguhkan keputusan ini, namun ia tidak dapat dielakkan pada saat ini,” demikian menurut e-mel daripada Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Shahril Shamsuddin.
E-mel edaran dalaman yang dihantar pada lewat petang semalam turut dikongsi oleh pihak Komunikasi Korporat Sapura Energy dengan media.
Pada akhir April lepas, Sapura Energy telah mengumumkan langkah potongan gaji yang membabitkan satu pertiga daripada tenaga kerjanya.
Ini membabitkan potongan gaji sebanyak 50 peratus bagi barisan pimpinannya manakala mereka yang menerima gaji kurang RM10,000 telah dikecualikan.
Langkah tersebut telah membantu Sapura Energy dari segi mengurangkan kos pekerja sebanyak kira-kira 7.5 peratus.
Selain itu, Sapura Energy turut memperuntukkan tambahan RM1 juta bagi membantu mereka yang terjejas untuk beralih kepada kerjaya seterusnya.
Ini termasuk lanjutan perlindungan perubatan bagi tempoh tiga bulan berikutnya, membantu aspek penjenamaan diri, keterangan atau maklumat diri, kemahiran bagi sesi temu duga, jaringan dan petunjuk kerja bagi melonjakkan peluang karier baharu.
-- BERNAMA
#COVID-19
#gaji
#industri minyak dan gas
#karier
#kontrak
#kurangkan kos
#Pekerja
#pengurangan pekerja
#petugas tetap
#potong gaji
#saiz organisasi
#Sapura Energy
#sepenuh masa
#shahril shamsuddin
#strategi perniagaan
#terjejas