Sanusi utus surat kepada Sultan Selangor, mohon ampun

Sinar Harian
Julai 15, 2023 10:00 MYT
Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak dapat memaparkan surat berkenaan di laman sosial itu untuk memelihara kemuliaan Sultan Selangor dan adat berurusan dengan istana. - Foto fail
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan telah mengutus surat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menjelaskan konteks sebenar ucapannya yang didakwa diputar belit.
Katanya, Pegawai Istana Selangor memaklumkan kepadanya bahawa Sultan Selangor memberi perkenan untuk menerima dan membaca surat berkenaan pada Jumaat.
Muhammad Sanusi berkata, surat berkenaan didahului dengan merafak sembah memohon ampun kepada Sultan Selangor dan berharap tidak timbul kemurkaan baginda bersabit isu-isu yang didakwa sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu.
"Selanjutnya saya mendoakan agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri terus bersemayam di atas singgahsana Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dalam keadaan sihat, sentosa dan penuh kemuliaan," katanya yang memuat naik penjelasan itu di Facebook miliknya pada Sabtu.
Beliau bagaimanapun berkata, tidak dapat memaparkan surat berkenaan di laman sosial itu untuk memelihara kemuliaan Sultan Selangor dan adat berurusan dengan istana.
Dalam masa yang sama, Muhammad Sanusi berkata, beliau juga memberi keterangan kepada pegawai penyiasat dari Bukit Aman pada jam 2 pagi Jumaat untuk melengkapkan siasatan atas laporan yang dibuat terhadapnya.
"Demikianlah adanya untuk makluman semua yang berminat dalam isu ini. Air nan sengaja dikeruhkan moleklah dibiarkan jernih agar terlihat kilas ikannya. Menangguklah di ketika itu," katanya.
Dalam ucapannya yang tular sebelum ini, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.
Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkannya menghina institusi beraja di Selangor. - Sinar Harian
#Muhammad Sanusi Md Nor #mohon maaf #Sultan Sharafuddin Idris Shah #Istana Selangor
;