Sanusi menghadap Sultan Kedah mohon perkenan tarikh bubar DUN
Bernama
Jun 25, 2023 11:10 MYT
Jun 25, 2023 11:10 MYT
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghadap Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pagi ini, bagi memohon perkenan baginda tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sesi menghadap itu diadakan di pejabat Tuanku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, di sini.
Terdahulu, Muhammad Sanusi dilihat tiba di Wisma Darul Aman pada 10.22 pagi.
Sultan Sallehuddin pula tiba 10.26 pagi dan sempat melambai kepada petugas media yang berkumpul di hadapan pintu pagar utama bangunan itu.
Difahamkan Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah akan mengadakan sidang media sebaik sahaja selesai menghadap Sultan Kedah.
Muhammad Sanusi sebelum ini dilaporkan, akan mencadangkan kepada baginda tarikh pembubaran pada 28 Jun untuk membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Persidangan DUN Kedah yang pertama adalah pada 3 Julai 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 dan mandat lima tahun sepatutnya berakhir pada 4 Julai ini.
Kedah memiliki 36 kerusi DUN yang menyaksikan PN diterajui Muhammad Sanusi ketika ini menguasai 20 kerusi (PAS-14, Bersatu-6) diikuti Pakatan Harapan (PH) yang memiliki 10 kerusi (PKR-5, Amanah-3, DAP-2), sementara Barisan Nasional dan Pejuang masing-masing dua kerusi.
Dua lagi kerusi kosong selepas ADUN Gurun dari PKR Datuk Johari Abdul memaklumkan beliau telah mengosongkan kerusinya pada 18 Dis tahun lepas selepas dilaporkan menjadi antara calon bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, sementara ADUN Belantek dari PAS Datuk Mohd Isa Shafie meninggal dunia, pada 14 Jun lalu.
-- BERNAMA