Sanusi dibenarkan pindah kes menghasut ke Mahkamah Tinggi

Sinar Harian
Februari 1, 2024 13:25 MYT
Muhammad Sanusi ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Selayang pada Khamis. - Gambar/ Sinar Harian
SHAH ALAM: Perbicaraan dua kes menyebut perkataan menghasut membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Mahkamah Sesyen Selayang dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu untuk memindahkan dan membicarakan kes berkenaan di mahkamah tersebut.
Pada 18 Julai 2023, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai tahun sama.
Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 11 Januari lalu, pemimpin Kedah ini mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes dan menggantung perbicaraan di Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di sini.
Alasan permohonan dibuat ialah, perbicaraan yang saksama tidak dapat dijalankan di mahkamah rendah selain mungkin berlaku kesulitan di sisi undang-undang.
Pembelaan berkata, perbicaraan di mahkamah tinggi akan memudahkan rujukan dalam isu undang-undang yang rumit, yang mana kehakiman itu mempunyai keupayaan untuk memutuskan perkara itu.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah permohonan berkenaan kerana kes itu tidak melibatkan persoalan undang-undang yang sukar atau kompleks.
Selain tarikh perbicaraan telah ditetapkan lebih awal, mereka menghujahkan, hakim yang akan mendengar kes di mahkamah rendah, berwibawa untuk mengendalikan perbicaraan jenayah itu.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Selayang, menetapkan prosiding perbicaraan ditetapkan pada 5, 8, 9, 13, 15, 16,19, 22, 23 Februari serta 11, 15 dan 18 Mac depan. - Sinar Harian
#sanusi #kes hasutan #keputusan mahkamah #ADUN Jeneri
;