Sanusi dedah Anwar bawa lelaki Indonesia mohon tanah REE di Kedah

Hilmi Malik
Ogos 1, 2023 00:22 MYT
Dakwa Sanusi, lelaki Indonesia itu telah membuat permohonan berkenaan sebelum kerajaan negeri dibubarkan.
PEDU: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada membawa seorang lelaki Indonesia ke Kedah bagi tujuan memohon kawasan lombong unsur nadir bumi (REE).
Sanusi tampil mendedahkan perkara berkenaan ketika berucap pada program Ceramah Perdana Gelombang Perikatan Nasional DUN Pedu pada Selasa.
Mengulas lanjut, lelaki Indonesia yang dimaksudkan dikenali sebagai Riza Chalid telah membuat permohonan berkenaan sebelum kerajaan negeri dibubarkan.
“Ada orang hubungi saya, Pak Riza Chalid ini ada nak berikan beratus-ratus lembu korban tetapi saya tak mahu sebab dah nak pilihan raya takut lembu itu jadi rasuah.
“Ketika itu saya dah jadi Menteri Besar, Anwar Ibrahim datang ke Kedah bersama lelaki berkenaan, saya tengok dalam portal Anwar dengan lelaki berkenaan berjumpa seseorang,” katanya.
Ujar Sanusi, perkara itu juga antara pendorong Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail secara bertalu-talu menjalankan serangan terhadapnya.
“Rupanya Riza Chalid nak mohon kawasan lombong REE, patutlah Pudin (Saifuddin) ini terlalu nak pulun (serang) saya... tahu dah.
“Saya memang ingat Pak Riza ini ada jumpa macam-macam orang untuk nak mohon tanah lombong REE,” ujarnya lagi.
Sanusi bagaimanapun berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah jika wujud pihak yang ingin memohon tanah untuk mengusahakan tanah REE.
Bagaimanapun, usaha itu seharusnya menggunakan saluran yang betul mendatangkan semula pulangan terhadap kerajaan negeri.
“Buat kerja ikut undang-undang, biar betul-betul. Janganlah sampai rosak mineral kita… hilang duit kita. Siapa pun atas dunia ini yang ada kemahiran ada kepakaran nak mohon kawasan REE silakan, kita luluskan dengan syarat hasil itu dipulangkan kepada rakyat Kedah.
“Anwar Ibrahim ke Pudin (Saifuddin) marilah... sesiapa pun tak mengapa,” katanya lagi.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) sekali lagi menegaskan, segala skandal yang dilontarkan terhadapnya hanya berniat jahat untuk mengelirukan pemikiran rakyat.
“Jalan ceritanya supaya orang benci Sanusi, benci PN dan ingin tunjuk kelemahan tadbir urus dan tatakelola. Yang tak faham tatakelola ini Pudin (Saifuddin).
"Jadi ini berita besar (pendedahan berkenaan PM) bawa pengusaha dari Indonesia ingin mohon tapak untuk lombong REE di Kedah,” dedahnya.
#Muhammad Sanusi Md Nor #Anwar Ibrahim #lombong REE #lelaki indonesia
;