Sanusi akan jawab notis saman Vincent Tan
Hilmi Malik
Ogos 11, 2023 21:13 MYT
Ogos 11, 2023 21:13 MYT
KULIM: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan menjawab notis saman yang difailkan Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan dan Berjaya Land Berhad.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum menerima notis berkenaan.
"Nanti kita jawab (notis) bila dah sampai," jawabnya ringkas selepas menghadiri ceramah Grand Finale Sembang Santai bersama Sanusi di Padang Awam Tunku Putra pada Jumaat.
Pada Selasa lalu, Vincent dan Berjaya Land telah memfailkan saman berkenaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Perkara itu dibuat menerusi firma guaman Tetuan Pierre Chuah & Associates.
Pengurusan kes berkenaan juga telah ditetapkan pada 4 September ini.
Saman itu dibuat berikutan kenyataan Sanusi baru-baru ini yang menyatakan kedua-dua pihak berkenaan adalah korup dan kroni Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta memperoleh tanah seluas 600 hektar secara percuma.
Vincent mendakwa, kenyataan yang berbaur fitnah itu kononnya kedua-dua mereka memberikan manfaat kepada Amirudin sebagai balasan selepas mendapatkan tanah berkenaan secara percuma.