Santuni masyarakat sempadan untuk kekang aktiviti penyeludupan dadah - AADK

Hasimi Muhamad
November 25, 2020 13:58 MYT
Pelbagai usaha giat sedang dilakukan termasuk menerusi pelaksanaan model projek rintis membasmi penyalahgunaan dadah secara bersepadu di 12 kawasan berisiko tinggi di seluruh negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Agensi-agensi berkaitan disarankan supaya mempergiatkan usaha menyantuni masyarakat di sempadan negara dalam usaha mengekang kegiatan penyeludupan dadah dan daun ketum daripada terus berleluasa.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata usaha itu bagi memastikan masyarakat yang tinggal di kawasan berkenaan tidak terlibat secara langsung dengan kegiatan haram tersebut.
Ini kerana jelas beliau, kegiatan tersebut dikesan masih aktif walaupun sempadan negara ditutup susulan penularan COVID-19.
"Kawasan berpagar itu lebih berisiko dan perlulah diilhat semula oleh kerajaan bagi menambah baik sebab saya difahamkan banyak pagar yang agak uzur dan (mudah) dibolosi.
“Pada masa yang sama, kita juga menggunakan teknologi terkini yang boleh membantu seperti penggunaan dron dan lain-lain.
“Tetapi saya percaya inisiatif untuk menyantuni masyarakat sempadan oleh agensi-agensi berkaitan boleh dilakukan supaya masyarakat sempadan tidak terlibat secara langsung dalam aktiviti-aktiviti penyeludupan khususnya membabitkan penyeludupan dadah dan senjata api," katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 149,000 kilogram (kg) daun ketum telah dirampas setakat Jun tahun ini berbanding 161,000 kg sepanjang tempoh tahun lalu.
Selain itu, Zulkifli berkata dianggarkan 340 hektar kawasan di negara ini dikenal pasti menjalankan aktiviti penanaman daun ketum.
“Jadi bermakna, setakat Jun tahun ini sahaja jumlahnya telah meningkat dan ketum di Malaysia buat masa ini dikategorikan di bawah Akta Racun tetapi penanaman ketum belum lagi menjadi satu kesalahan di bawah akta tersebut.
“Jadi, saya rasa ini antara penyumbang sebab kita tahu pasaran di Thailand memang tinggi terhadap ketum ini apabila dijumpai bersama ubat batuk.
"Saya percaya ia digunakan bagi tujuan penyalahgunaan kerana berdasarkan aduan, air ketum ini akan dicampur dengan ubat batuk dan setengahnya dicampur dengan ubat nyamuk dan sebagainya untuk memberi kesan khayal yang lebih tinggi daripada biasa,” katanya.
Tambah beliau, pelbagai usaha giat sedang dilakukan termasuk menerusi pelaksanaan model projek rintis membasmi penyalahgunaan dadah secara bersepadu di 12 kawasan berisiko tinggi di seluruh negara.
#Astro Awani #Thailand #Dadah #haram #COVID-19 #Penyeludupan daun ketum #Sempadan Negara #AADK
;