‘Santuni MADANI’ platform tepat pantau sistem penyampaian kerajaan
Shuhada Abdul Kadir
Oktober 28, 2024 11:55 MYT
Oktober 28, 2024 11:55 MYT
ALOR GAJAH: Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, di sini, diangkat sebagai kampung angkat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI).
Pemilihan kampung yang didiami kira-kira 2,100 penduduk itu bagi memfokuskan program pembasmian kemiskinan, pengurangan keciciran pendidikan serta peningkatan kemudahan kesihatan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya menyambut baik pemilihan kampung itu yang merupakan inisiatif Program Kampung Angkat MADANI yang mula diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 yang lepas.
Katanya, program itu dilihat mampu memberi impak dalam merapatkan jurang kemudahan antara desa dan bandar supaya tidak ada mana-mana kawasan yang ketinggalan dalam arus kemajuan dan kemakmuran negara.
“Penglibatan MAIWP bersama komuniti penduduk ini mampu meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat dalam mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk selaras dengan prinsip localised Sustainable Development Goals (SDG).
“Jadi saya harapkan bahawa dengan ada suntikan Santuni MADANI dalam masyarakat kampung ini dapat mengeratkan lagi silaturahim di antara masyarakat yang ada di dalam kampung Balik Batu ini,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, di sini, baru-baru ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Nai'im Mokhtar dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya yang juga anak jati Kampung Balik Batu.
Pada majlis peluncuran itu, MAIWP turut menyalurkan keseluruhan RM 101,000 sumbangan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Bidara, tiga buah sekolah, serta sumbangan kepada asnaf dan pelajar sekolah di kawasan itu.
Mengulas lanjut, ujarnya, program itu juga menjadi penanda aras dalam menilai bagaimana dasar yang dibuat oleh kerajaan mampu sampai ke akar umbi dan dinikmati oleh masyarakat tempatan.
Beliau turut meletakkan sasaran dalam tempoh tiga bulan dalam melihat keberkesanan penyampaian dasar kerajaan serta bantuan yang disediakan kerajaan di kampung berkenaan.
“Kita sasarkan tadi dapat mencapai matlamat seperti mana yang dirancangkan kerana ini akan menjadi the platform terbaik untuk menghubungkan pemimpin dengan masyarakat dan pastinya itulah hakikat yang kita ingin capai,” kata Ketua Menteri lagi.
Justeru, beliau mengharapkan program seumpama itu dapat dijalankan di kampung-kampung seluruh Melaka memandnagkan ia bukan sahaja dapat mengeratkan kerjasama dalam kalangan pemimpin kerajaan dan rakyat.
Apa yang turut diharapkan, program sedemikian mampu menjadi batu loncatan untuk Kampung Balik Batu meningkatkan taraf sosioekonomi yang dinamik dan kesihatan yang lebih baik.