Santuni, dorong pelajar tahfiz serlah potensi - Ahmad Zahid
Madiha Abdullah
Mei 27, 2023 07:40 MYT
Mei 27, 2023 07:40 MYT
JENJAROM: Pelajar tahfiz perlu diberi galakan dan sokongan untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi membolehkan mereka mencapai potensi tertinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelajar tahfiz tidak seharusnya dibiarkan hanya untuk menjadi imam dan bilal, tetapi juga berjaya dalam bidang profesional.
Ujar Ahmad Zahid, salah satu contoh ialah pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang juga seorang hafizah, Safwa Zamri, yang muncul pelajar kedua terbaik dunia dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) baru-baru ini.
"Pelajar tahfiz yang akan jadi huffaz boleh ambil Sijil Pelajaran Malaysia atau kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) .
"Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah ada menyediakan dua institusi untuk mereka ambil sijil, diploma, ijazah pertama, sarjana atau PhD jika berminat, iaitu Universiti Kuala Lumpur dan politeknik.
"Ini kerana cara pergerakan sosial dan menaikkan kualiti hidup paling efektif ialah menerusi pendidikan. Kita tak mahu huffaz hanya jadi imam dan bilal, saya mahu mereka jadi profesional, jadi imam dan bilal dan dalam masa ahli profesional yang hafal 30 juzuk al-Quran.
"Usaha ini saya telah lakukan melalui Institut Teknologi Penerbangan Malaysia, baru-baru ini kita tandatangan perjanjian dengan syarikat penerbangan bukan hanya dalam bidang penerbangan tapi juga penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO). Kita ada tiga lepasan Maahad Tahfiz yang telah ambil TVET dan kemudian ambil ijazah dan jadi jurutera penerbangan.
"Dahulu kita tak fikir mereka yang berjubah dan hafal al-Quran (ada potensi), kita seolah-olah meminggirkan kumpulan ini. Sekarang saya mahu kepimpinan Belia 4B yang baharu bekerjasama dengan saya untuk menyantuni kumpulan ini," ujarnya.
Jelasnya, stereotaip masyarakat terhadap pelajar tahfiz perlu dihapuskan dan bakat serta kebolehan mereka perlu digilap bagi membolehkan mereka bergerak selari dengan perkembangan dunia semasa.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis Anugerah Gerakan Belia 4B sempena Perhimpunan Agung Tahunan ke 42 dan 43 di Mahsa University, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga menyeru peranan belia dalam menapis maklumat yang diterima di media sosial, khususnya berkaitan politik.
Ini susulan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun bermula pada Pilihan Raya Umum ke 15 yang lalu.
"Kita tidak mahu mereka terpengaruh hanya berasaskan maklumat yang tiada keabsahan di saluran media komunikasi baharu.
"Ini kerana apabila berlaku ketularan tinggi , ia dianggap ada keabsahan, apalagi apabila ada influencers yang jadi figura ikonik, mungkin ada dalam kalangan mereka dapat habuan banyak, maka dianggap ada keabsahan," katanya lagi.
Beliau juga memberi mandat kepada pemimpin Gerakan Belia 4B untuk menyusun strategi bagi menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang.
Susun barisan di enam negeri yang akan tentunya memukul gong untuk kita hadapinya. Saya tawarkan agar jentera 4B bergerak untuk menentukan kemenangan.
"Tak perlu risau, ada ubi ada batas. Saya kenal mana jauhari, mana manikam. Tiba masanya ada ubi, ada batasnya," katanya.