Santun bahasa: Jangan tulis membabi buta

Azura Halid
November 4, 2020 12:00 MYT
Penulisan memerlukan penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicara. - Gambar hiasan
LISAN dan tulisan kedua-duanya merupakan alat komunikasi yang popular. Menurut Nordenstreng dan Varis (1973), alat utama dalam sejarah komunikasi manusia ialah perolehan bahasa semenjak lahirnya umat manusia.
Dengan kemampuan berbahasa, manusia dapat berkomunikasi sesama manusia dan itulah syarat utama interaksi. Bahasa merupakan alat komunikasi yang digunakan oleh manusia bagi melestarikan kaedah penyampaian maklumat secara berkesan.
Kesilapan memilih istilah, kata dan penyusunan ayat dan bahasa yang betul akan melemahkan komunikasi dan mungkin juga akan mengelirukan pembaca atau kelompok dan individu sasaran. Dalam komunikasi penulisan perlu ada kesantunan berbahasa.
Kamus Dewan menyatakan bahawa kesantunan merupakan adab, sopan, adat, budi bahasa, perangai dan akhlak. Penulisan memerlukan penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicara.
Hal ini bermaksud kesantunan merupakan perilaku yang ditetapkan dan disepakati bersama oleh sesuatu masyarakat tertentu sehingga menjadi prasyarat bermasyarakat (Awang Sariyan, 2007).
Maka dalam setiap penulisan memerlukan kesepakatan adab dan adil dengan meletakkan sesuatu kata atau istilah itu betul pada tempatnya. Dalam pemilihan kosa kata bahasa Melayu, terdapat banyak pilihan kata yang sepadan yang dikenali sebagai sinonim. Kamus Dewan memberi maksud sinonim sebagai kata yang sama atau hampir sama maknanya.
Berikut dijelaskan beberapa contoh kosa kata yang sama makna:

Kosa kata: Kubur
Kata sinonim: Makam/pusara/jirat/liang lahad
Maksud (Kamus Dewan Edisi Keempat): Tempat menanam orang mati
Contoh ayat:
Tanah kubur masih basah namun bapanya sudah memikirkan tentang pengganti ibunya.
Baginda dimakamkan bersebelahan dengan makam nendanya.
Mereka berkumpul di jirat bagi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Lim Kim Leong.
Dia menziarahi pusara orang tuanya pada setiap lebaran.
Mereka yang terkorban dikebumikan di dalam satu liang lahad.

Kosa kata: Janda

Kata sinonim: Ibu tunggal
Maksud (Kamus Dewan Edisi Keempat): Orang perempuan yang pernah berkahwin tetapi tidak bersuami lagi kerana bercerai atau kematian suami.
Contoh ayat:
Dia menjadi janda kaya setelah suaminya meninggal dunia.
Beliau merupakan ibu tunggal yang berjaya di bawah Skim Bantuan Usahawan Bumiputera.


Kosa kata: Jenazah

Kata sinonim: Mayat
Maksud (Kamus Dewan Edisi Keempat): Jasad/tubuh badan orang mati.
Contoh ayat:
Jenazah Imam Badar selamat dikebumikan selepas waktu asar.
Mayat yang telah berbau itu dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.


Kosa kata: Meninggal dunia

Kata sinonim: Mangkat/wafat/mati
Maksud (Kamus Dewan Edisi Keempat): Tidak bernyawa lagi/tidak hidup lagi.
Contoh ayat:
Dia meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya tempoh hari.
Anakanda baginda disahkan mangkat pada pukul 10.00 pagi.
Rasulullah wafat di Madinah dan disemadikan di Masjid Nabawi.
Semenjak kucing kesayangannya mati, dia tidak lagi seriang dulu.


Beberapa contoh di atas menjelaskan penggunaan kosa kata yang sering ditemui dalam penulisan rasmi, tidak rasmi dan karya kreatif. Penulis harus faham tentang konotasi dalam penulisan kerana hal ini berkait rapat dengan kesantunan berbahasa dan budaya setempat.

Mengapakah perlu wujud perbezaan penggunaan maksud bagi setiap kata? Perkara ini disebabkan oleh asosiasi atau idea yang dimaksudkan oleh sesuatu perkataan atau ungkapan selain maknanya yang tersurat. Terdapat diksi atau kata yang dilabelkan sebagai bahasa rasmi, bahasa istana, bahasa kasar, bahasa percakapan, basahan dan pasar.
Ramai dalam kalangan kita yang menggunakan perkataan ‘pondan’ bagi merujuk kepada laki-laki yang berkelakuan atau berpakaian seperti perempuan. Namun terdapat kata yang lebih manis, sopan dan berhemah yang sinonim dengannya seperti ‘transgender’ atau ‘transjantina’ atau mungkin ‘khunsa’.
Perbendaharaan kata ‘jenazah’ dan ‘mayat’ seperti contoh yang diberikan sebelum ini juga perlu digunakan pada frasa yang betul.
Dalam konteks budaya masyarakat Islam, kita menggunakan frasa ‘pengurusan jenazah’ dan ‘solat jenazah’ hanya untuk jenazah orang Islam kerana pengurusan jenazah dan solat jenazah tidak dilaksanakan atas jasad orang bukan Islam. Maka perkataan ‘jenazah’ hanya boleh digunakan untuk orang Islam.
Itulah budaya berbahasa dan budaya masyarakat yang harus difahami dan dihormati.
Penggunaan istilah ‘anak haram’ atau ‘anak zina’ tidaklah salah, tetapi alangkah manis dan sopannya jika istilah tersebut digantikan dengan ‘anak luar nikah’ atau ‘anak tidak sah taraf’ bagi merujuk anak yang dilahirkan tanpa bapa biologi yang sah.
Perlu diingat juga tentang kesepadanan makna ini berkait rapat dengan pembentukan sesuatu istilah. Bahasa Melayu berkembang dengan mengambil kata pinjaman daripada bahasa asing seperti bahasa Inggeris dan Arab.
Dipadankan pula dengan budaya masyarakat setempat terutamanya masyarakat majmuk dalam konteks negara Malaysia. Disebabkan itulah wujudnya kesantunan dan kesusilaan dalam menghormati budaya orang lain. Maka janganlah menulis secara membabi buta.


* Azura Halid merupakan pejuang Bahasa Melayu yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Kolumnis AWANI #bahasa #Bahasa Melayu #Bahasa Jiwa Bangsa #penulisan #akademik #azura halid #laras bahasa
;