Santuari gajah RM20 juta tangani konflik gajah dan manusia

Astro Awani
September 7, 2019 17:29 MYT
Aktres Maya Karin memberi makan tebu kepada seekor gajah pada sambutan Hari Gajah Sedunia di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, hari ini. - Foto Bernama
Sebuah santuari gajah yang baharu dengan kos kira-kira RM20 juta akan dibina di Perak dalam usaha berterusan memulihara haiwan itu yang kini semakin terancam.


Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, kementeriannya telah pun mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Perak mengenai projek pembinaan yang berkeluasan 100 hektar itu.


Pembinaan santuari itu merupakan satu projek penting menangani masalah konflik gajah dan manusia, Kementerian dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak telah meluluskan cadangan pembinaan tersebut yang akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-12.


“Rancangan kita di sana untuk mendapatkan gajah-gajah ini yang ada masalah konflik antara manusia dengan mereka dan dibawa ke sana dan dilepaskan didalam hutan melalui santuari di Perak.
“Kita pun ada beberapa cadangan untuk negeri lain juga untuk buat demikian contohnya di negeri Johor dan di negeri Pahang dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar pada Sambutan Hari Gajah Sedunia di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lanchang Pahang pada Sabtu.


Dr Xavier Jayakumar turut berkata bagi menjaga kelestarian populasi gajah liar dan masyarakat, kerajaan telah menggubal Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (NECAP) 2013–2020 dan program perlindungan ini berjaya menurunkan kerugian akibat konflik gajah dan manusia kepada 44 peratus dalam tempoh 2015–2018.


Berdasarkan kajian yang dijalankan pada tahun 2011, populasi gajah liar di Semenanjung Malaysia dianggarkan sebanyak 1,222 hingga 1,680 ekor dan sebanyak 1,118 aduan konflik antara manusia dan gajah, telah direkodkan sepanjang tahun 2016 hingga 2018 diseluruh Semenanjung Malaysia.
#Dr Xavier Jayakumar #Menteri Air Tanah dan Sumber Asli #Sambutan Hari Gajah Sedunia #santuari gajah
;