Santan, dua jenis bawang India dalam Skim Kawalan Harga sempena Aidilfitri 2025

Firdaus Azil
Mac 19, 2025 16:46 MYT
Menurut Armizan, Mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan tempoh pelaksanaan berkenaan, iaitu tujuh hari sebelum, satu hari semasa 1 Syawal, dan dan tujuh hari selepas. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan sempena musim Aidilfitri selama 15 hari bermula 24 Mac hingga 7 April depan.

Ringkasan AI
  • Kerajaan akan melaksanakan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan sempena Aidilfitri selama 15 hari bermula 24 Mac hingga 7 April 2025.
  • Sebanyak 26 jenis barangan termasuk bawang kecil India dan santan dimasukkan dalam skim ini untuk mengawal harga semasa musim perayaan.
  • Pegawai KPDN akan memantau kepatuhan peniaga, dan kerjasama dengan KPKM akan memastikan bekalan barangan mencukupi sepanjang tempoh skim.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan tempoh pelaksanaan berkenaan, iaitu tujuh hari sebelum, satu hari semasa 1 Syawal, dan dan tujuh hari selepas.
Ahli Parlimen Papar itu berkata, sebanyak 26 jenis barangan telah dimasukkan ke dalam senarai skim tersebut, termasuk bawang kecil India, barang kecil ros India, dan santan.
“Semasa Syawal tahun lalu kita tidak memasukkan bawang merah kecil India dan bawang merah kecil India Ros itu ke dalam skim ini kerana tahun lepas kita menghadapi masalahnya bekalan yang amat besar apabila antaranya India melaksanakan sekatan eksport.
“Namun Alhamdulillah dua jenis bawang ini dapat dimasukkan untuk skim syawal ataupun hari raya puasa tahun 2025. Satu lagi adalah masalah santan, kita tahu penghujung Februari lepas kita berhadapan dengan masalah gangguan bekalan.
“(Jadi) kita memutuskan bahawa perlu juga masukkan santan ini dalam program skim harga maksimum musim perayaan 2025 ini kerana kita khuatir walaupun bekalan agak stabil tapi menjelang Syawal nanti kita khuatir akan berlaku peningkatan harganya,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian di majlis pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025, Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Aidilfitri dan Program Servis Ihsan Madani@Petronas AutoExpert (SIM@PAX) di sini pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan harga santan meningkat dengan mendadak pada dua bulan pertama tahun ini susulan gangguan bekalan.
Sementara itu harga dua jenis bawang tersebut pula turut meningkat tahun lepas susulan sekatan eksport oleh kerajaan India, sehingga memaksa Malaysia terpaksa beralih ke negara lain seperti China untuk mendapatkan bekalan.
Dalam kenyataan susulan, Armizan berkata, Pegawai-pegawai Penguat Kuasa KPDN akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan sepanjang tempoh masa skim bagi memastikan kepatuhan peniaga kepada perundangan berkaitan.
Harga maksimum santan di Semenanjung ditetapkan RM17.50 - Armizan
Kementerian, katanya lagi, akan terus menjalinkan kerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim.
"Pada masa yang sama, penguatkuasaan secara berhemah dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran supaya para peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa dan mengamalkan
perniagaan yang beretika.
"Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya. Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini," katanya lagi.
#Armizan Mohd Ali #musim perayaan #skim harga barang #santan #Aidilfitri #terkini
;