Sanitasi besar-besaran satu pembaziran sumber - Dr Adeeba
Astro Awani
Mei 30, 2021 13:09 MYT
Mei 30, 2021 13:09 MYT
KUALA LUMPUR: Operasi sanitasi awam secara besar-besaran di seluruh negara merupakan pembaziran sumber.
Pendapat itu disuarakan pakar penyakit berjangkit, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman yang berasakan lebih baik sumber digunakan dalam program tersebut disalurkan ke bahagian lain yang lebih memerlukan.
“Ini termasuklah bantuan peralatan perlindungan diri (PPE), kanula hidung aliran tinggi (HFNC), alat pengalih udara (ventilator), sat meter oksigen dan makanan untuk sukarelawan,” ciapnya di Twitter pada Sabtu.
Beliau menciap demikian sebagai respons terhadap kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin yang mengumumkan sebanyak 284 lokasi di seluruh negara disanitasi secara besar-besaran selama dua hari.
Menurutnya, proses sanitasi itu bermula Sabtu dan ia dilakukan susulan peningkatan kes positif COVID-19 yang kini sudah melepasi angka 9,000 kes sehari.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan tiada bukti saintifik yang menunjukkan keberkesanan rutin operasi sanitasi awam untuk mencegah penularan COVID-19, walaupun masih giat dijalankan pihak berkuasa.
Menurut pakar kesihatan awam Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Malina Osman, rutin sanitasi awam hanya perlu dilakukan berdasarkan risiko di sesuatu kawasan.
Sebagai contoh, jelas Dr Malina, jika berlaku kes positif di tempat kerja, proses sanitasi hanya digalakkan di kawasan sekitar seperti ruang kerja dan tandas yang dikongsi dengan rakan sekerja.
#sanitasi
#COVID-19
#virus
#KPKT
#orang awam
#lokasi
#kes positif
#penyakit berjangkit
#perumahan
#kerajaan
#sumber
#pembaziran
#Dr Adeeba