Sanitasi awam tetap diteruskan, tiada isu pembaziran - Zuraida
Muhafandi Muhamad
Ogos 8, 2021 18:02 MYT
Ogos 8, 2021 18:02 MYT
KOTA BHARU: Perlaksanaan sanitasi di tempat awam dan premis bangunan masih diteruskan dan relevan untuk dilaksanakan sebagai langkah pembasmian kuman termasuk virus COVID-19.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata tidak timbul isu pembaziran kerana proses sanitasi itu diiktiraf Petubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Kementerian mengambil pendekatan bahawa ia (sanitasi) satu langkah untuk nyah kuman... untuk pembersihan kuman... kalau ada (virus) COVID-19, itu sekalilah.
"Atas dasar itu, kita buat sanitasi dan kita buat di tempat awam. Kita ambil langkah berjaga-jaga dan kita tak pasti dapat banteras COVID-19 100 peratus, tapi ini adalah usaha di samping langkah lain oleh kerajaan termasuk vaksinasi.
"Kita bersikap positif, kita buat mengikut (saranan) WHO bukan sembarangan," katanya ketika lawatan kerja ke Program Koordinasi Sukarelawan Komuniti di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini lebih 37,000 operasi sanitasi awam dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara.
Selain itu, katanya lebih 24,000 premis awam dan bangunan kerajaan disanitasi melalui operasi berkenaan.
Sebelum ini, pakar kesihatan termasuk pakar penyakit berjangkit, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, berkata operasi sanitasi awam secara besar-besaran di seluruh negara merupakan pembaziran sumber.