Sanitasi awam di Penjara Reman Pulau Pinang bendung penularan COVID-19
Bernama
April 15, 2020 05:50 MYT
April 15, 2020 05:50 MYT
Penjara Reman Pulau Pinang mengambil tindakan proaktif dengan melakukan sanitasi di seluruh kawasan serta blok penjara itu sebagai langkah mengekang penularan wabak COVID-19 walaupun tiada kes positif direkodkan dalam kalangan penghuninya.
Pengarahnya, Tey Hock Soe berkata aspek kesihatan dan keselamatan penghuninya terutama kakitangan penjara menjadi keutamaan pihaknya dengan langkah pencegahan mula dilakukan sejak awal penularan wabak itu di negara ini.
"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang yang hadir membuat sanitasi nyah kuman di seluruh 13 blok penghuni, pejabat, kantin dan surau membabitkan keluasan 8.5 hektar penjara ini.
"Sebelum ini kami juga memang membuat sanitasi setiap hari dalam kalangan kakitangan. Kami sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan kerana penjara antara tempat yang berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan operasi sanitasi itu yang diketuai Pegawai Operasi JBPM Pulau Pinang Mohd Amir Ahmad Tarmizi di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Tey berkata penjara itu menempatkan kira-kira 1,900 penghuni sekarang ini yang kebanyakan mereka dalam tempoh reman menunggu perbicaraan dan 63 daripadanya adalah membabitkan pesalah yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Bagi pesalah yang ingkar PKP sebaik dimasukkan ke penjara ini, mereka akan ditempatkan di satu blok dan perlu mandi serta mencuci badan serta semua pakaian sebelum ditempatkan di sel berasingan daripada penghuni lain dan jika ada simptom mereka akan diberikan rawatan segera.
"Selain itu, penghuni juga telah dimaklumkan mengenai wabak COVID-19 oleh kakitangan penjara supaya mereka tahu akan bahaya penyakit ini selain risalah berkaitan ditampalkan di pelbagai lokasi sekitar blok penjara," katanya.
Sementara itu, Mohd Amir berkata pelaksanaan operasi sanitasi berkenaan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan sebagai langkah pembasmian COVID-19 dan sehingga Rabu sebanyak 37 tempat di negeri itu telah dilakukan sanitasi awam.
"Hari ini seramai 14 pegawai dan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) terlibat dalam operasi sanitasi ini yang memakan masa kira-kira tiga jam. Pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan untuk melakukan kerja-kerja nyah kuman tersebut," katanya.
-- BERNAMA
#bomba
#COVID-19
#JBPM Pulau Pinang
#keselamatan
#kesihatan
#Mohd Amir Ahmad Tarmizi
#operasi
#penjara
#Penjara Reman Pulau Pinang
#penularan
#reman
#sanitasi
#Tey Hock Soe
#wabak