Sangkar batu dibina untuk perkukuh cerun Bukit Setiawangsa
Bernama
Januari 28, 2013 21:18 MYT
Januari 28, 2013 21:18 MYT
Kerja pemasangan 'sangkar batu' untuk tujuan membaik pulih benteng konkrit yang runtuh di Bukit Setiwangsa dijangka siap sepenuhnya awal Februari ini, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib.
Beliau berkata pembinaan sangkar berukuran enam meter x enam meter itu kini 70 peratus siap sebagai langkah penyelesaian sementara untuk menampan sebarang gelongsoran tanah dan menstabilkan cerun, sementara menunggu pemaju menyiapkan reka bentuk semula cerun yang sesuai.
"Seramai 38 penghuni daripada 43 yang terlibat juga telah dibenarkan memasuki semula kediaman mereka sejak 22 Jan lalu, sementara lima lagi penghuni tidak dibenarkan masuk sehingga sangkar tersebut siap.
"Pengubahsuaian terhadap kediaman mereka dijangka siap sepenuhnya awal Februari ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat berhubung kejadian cerun runtuh di Bukit Setiawangsa di Pusat Komuniti Bukit Setiawangsa di sini hari ini.
Ahmad Phesal berkata pihak yang terlibat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) dan DBKL sedang giat menjalankan kerja pemulihan, termasuk pembukaan semula jalan dua hala untuk kemudahan penghuni keluar masuk.
Beliau berkata sebuah jawatankuasa khas ditubuh bagi membuat kajian terperinci untuk menambah baik garis panduan pembangunan tanah cerun sedia ada.
"Jawatankuasa ini dianggotai wakil JKR Cerun, DBKL, IKRAM dan Jabatan Mineral serta Geosains, dan penelitian sudah dimulakan bagi mengeluarkan satu garis panduan lebih baik enam bulan dari sekarang," katanya.
Pada 28 Dis lepas, benteng konkrit yang dibina di lereng bukit setinggi 50 hingga 60 meter di kawasan puncak Setiawangsa runtuh mengakibatkan beberapa banglo, termasuk milik orang kenamaan, terjejas.