Sanggup ulang-alik 40km setiap hari bawa anak OKU ke PDK

Syah Hairizal Kamalul Arifin
April 26, 2022 11:40 MYT
Golongan OKU menerima sumbangan Aidilfitri di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK). - Astro AWANI
SIPITANG: Berulang-alik sejauh kira-kira 40 kilometer hampir setiap hari ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).
Itu antara pengorbanan segelintir ibu bapa di daerah Sipitang, Sabah yang menghantar anak orang kurang upaya (OKU) bagi memastikan golongan istimewa itu tidak ketinggalan dalam mendapatkan pendidikan.
Ibu kepada pelajar OKU yang mengalami masalah percakapan, Aslini Mudamin, 42, menyatakan sudah menjadi rutin harian menghantar anak bongsunya, Mohamad Daniel Hakim Abdullah, 9, ke PDK berkenaan yang terletak 20 kilometer dari rumah mereka di Kampung Ulu Kuala Mengalum, Sindumin menggunakan motosikal.
"Kami hantar anak sekolah di SK Sindumin sebab sana kan pelajar OKU bercampur dengan pelajar biasa supaya mereka boleh berfikir.
"Sebab kalau SK Pekan terlampau jauh saya hantar, sebab dua lagi adiknya nak kena hantar ke sekolah juga," katanya ketika ditemui di PDK Daerah Sipitang, baru-baru ini.
Sementara itu, bapa kepada pelajar mengalami masalah pembelajaran atau 'slow learner', Yusrizam Mohd Yusof, 42, berkata, dia tidak melihat semua perkara yang dilakukan buat anak perempuannya, Nurul Syazwani, 14, sebagai suatu bebanan malahan menganggap ia suatu amanah yang jarang dilalui kebanyakkan ibu bapa.
"Yang penting untuk masa depan dia yang saya mahukan dia boleh menguruskan dirinya, dia tahu apa yang dia mahu buat, itu sahaja,
"Kalau mandi dia faham apa semua, setakat ini kalau kita cakap memang dia faham, kita panggil dia akan faham. Kita akan tahu reaksinya kalau apa yang dia tidak tahu, kita akan tahu reaksinya," katanya.
PDK adalah program yang diwujudkan Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) bertujuan bagi membantu pemulihan, pendidikan, latihan, penyamaan peluang dan integrasi sosial OKU.
#Pusat Pemulihan Dalam Komuniti #OKU #anak #pendidikan
;