Sanggup sembunyi dalam longkang busuk, kotor

Sinar Harian
Februari 22, 2025 10:30 MYT
Cubaan warga asing ini bersembunyi dalam longkang gagal apabila dikesan pihak berkuasa ketika serbuan di Kompleks Pasar Meru, di sini pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
KLANG: Sanggup bersembunyi dalam longkang yang busuk dan kotor, itu antara tindakan beberapa warga asing yang cuba mengelak ditahan dalam operasi bersepadu di Kompleks Pasar Meru, di sini pada Sabtu.
Taktik itu bagaimanapun gagal apabila kesemua mereka kemudiannya berjaya dikesan pihak berkuasa dalam operasi terbabit.
Operasi bersepadu diketuai Jabatan Imigresen Malaysia Selangor yang turut disertai Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara dan Majlis Bandar Diraja Klang (MBDK) itu dijalankan bermula jam 5.30 pagi.
Keadaan sekitar pasar berkenaan riuh seketika apabila beberapa warga asing dilihat cuba bersembunyi selain terdapat juga yang cuba melarikan diri.
Sinar Harian yang berpeluang mengikuti operasi ini mendapati terdapat warga asing yang bersembunyi di beberapa unit kedai kosong dalam bangunan pasar serta di bawah meja niaga di lokasi berkenaan.
Selain itu, terdapat juga warga asing yang dilihat cuba melarikan diri ke lebuh raya berdekatan pasar ini namun tindakan itu berjaya dipatahkan pasukan serbuan.
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Imigresen Malaysia Jafri Embok Taha berkata, operasi ini dijalankan susulan aduan dan maklumat diperolehi melibatkan 152 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi
Beliau berkata, seramai 630 individu warga asing diperiksa melibatkan 628 lelaki dan dua wanita.
"Pemeriksaan susulan dijalankan kemudiannya menahan 598 individu warga asing merangkumi tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa, salah guna pas dan pelbagai kesalahan lain.
"Kesemua ditahan melibatkan individu warga Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar dan Nepal," katanya.
Beliau berkata dalam sidang akhbar selepas operasi di Kompleks Pasar Meru di sini pada Sabtu.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
"Kesemua individu ditahan ini dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.
"Operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya.
Tegasnya, majikan yang menggaji atau melindungi PATI juga akan dikenakan tindakan tegas.
"Orang awam digesa untuk menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan PATI bagi membantu pihak berkuasa dalam usaha ini," katanya. - Sinar Harian
#warga asing #Kompleks Pasar Meru #Imigresen #longkang
;