Sanggup mengesot beraya rumah jiran

Sinar Harian
Jun 25, 2018 19:48 MYT
Wan Rokiah berkata, meskipun tidak mampu berjalan sejak tahun lalu, namun dia menguatkan semangat kerana tidak mahu menyambut Aidilfitri seorang diri. - Foto Sinar Harian
Demi menyambut Syawal, seorang warga emas terpaksa mengesot untuk ke rumah jiran, di sekitar Kampung Banggol Jering.
Wan Rokiah Wan Hamid, 78, berkata, meskipun tidak mampu berjalan sejak tahun lalu, namun dia menguatkan semangat kerana tidak mahu menyambut Aidilfitri seorang diri.
Wan Rokiah yang juga seorang mualaf selepas dipelihara keluarga Melayu berkata, dia juga terpaksa tinggal dalam bangsal di kebun getah milik arwah suaminya, Salleh Awang.
Meskipun suami meninggal dunia sejak 20 tahun lalu, namun Wan Rokiah tidak bercadang untuk berpindah kerana tidak mempunyai tempat lain untuk berlindung.
“Buat masa ini saya terpaksa harapkan anak angkat, dia tinggal dekat sini dan selalu hantar makanan termasuklah ketika Ramadan lalu.
“Kalau dia terpaksa bekerja pada hari lebaran, jiran dan ahli surau kampung akan bawa saya ziarah pusara suami atau ke rumah jiran pada 1 Syawal,” katanya.
Wan Rokiah yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, dia tidak mampu membaiki bangsal kerana mahu berjimat untuk membeli beras dan keperluan makanan.
Menyedari kesulitan yang dihadapi, Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (Kels) dan Kelab Pemilik Perodua Beza Malaysia (PBOCM) untuk keperluan Wan Rokiah.
Penolong Ketua PBOCM, Norhayati Shukri berkata, kerja sosial ini dilaksanakan bagi menceriakan Wan Rokiah untuk menyambut Syawal.
“Kegembiraan menyambut Syawal wajar dikongsi bersama golongan yang kurang bernasib baik dan kita berharap lebih banyak pihak sedia membantu meringankan beban Wan Rokiah,” katanya.
Hadir sama Ketua Skuad Kelss Kelantan, Rosli Yasok.
#Aidilfitri #jkm #Kels #Malaysia #meninggal dunia #PBOCM #Perodua #warga emas
;