Sanggup jual kereta demi kayuhan solo ke Mekah
Sinar Harian
Disember 11, 2024 09:40 MYT
Disember 11, 2024 09:40 MYT
SHAH ALAM: Demi menjayakan misi pengembaraan ke Mekah dengan kayuhan secara solo, Zainul Aqil Misnan sanggup menjual kereta kesayangan demi melepaskan komitmen bulanan yang ditanggungnya.
Pemuda berusia 29 tahun itu berkata, tindakan tersebut bagi memastikan dia tidak terbeban dengan hutang sepanjang misi jelajahnya ke Tanah Suci itu.
"Saya perlukan sehingga RM30,000 untuk menampung perbelanjaan sepanjang lima ke enam bulan misi jelajah ini yang melibatkan kos penginapan, makanan, basikal, kelengkapan serta penggunaan kenderaan awam di negara lain.
"Jadi saya terpaksa jual kereta untuk lepaskan komitmen bulanan yang ada supaya tidak terbeban semasa perjalanan ke luar negara," katanya kepada Sinar Harian.
Zainul Aqil memulakan misi pengembaraannya dari Banting, Selangor ke Mekah pada 5 Disember lalu untuk menunaikan umrah selepas membaca kisah sekumpulan lelaki yang melakukan kayuhan basikal mengerjakan haji, baru-baru ini.
Selain itu dia yang merupakan seorang pekerja bebas turut mengakui telah menggunakan hampir keseluruhan wang simpanan bagi menjayakan kayuhan solo itu.
Anak ketiga dari lima adik beradik itu berkata, minatnya menghasilkan video dan gambar turut menjadi pemangkin kepada keputusannya itu.
"Saya lebih suka mengembara secara solo berbanding berteman atau kumpulan.
"Bagi memastikan pengembaraan solo ini bermakna buat diri sendiri sambil menghasilkan video dan gambar, saya ambil keputusan destinasi terakhir mesti di Mekah," ujarnya.
Dalam pada itu Zainul Aqil memaklumkan, dia akan melalui beberapa negara sepanjang jelajahnya antaranya Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Tajikistan, Afghanistan, Pakistan dan Arab Saudi.
"Sekiranya di Afghanistan masih tidak selamat, saya akan ubah laluan dari Pakistan atau Iran.
"Mungkin antara Uzbekistan atau Tajikistan, saya akan guna penerbangan terus ke UAE (Emeriah Arab Bersatu) dan meneruskan kayuhan ke Mekah," jelasnya. - Sinar Haran