Sanggup dibaham buaya kerana sudah mengucap

Astro Awani
Januari 15, 2019 13:03 MYT
Penduduk sempat merakam gambar suspek yang berada di tepi sungai sambil memegang sebilah golok sebelum dia dikhuatiri lemas di Sungai Besut petang semalam. -Foto Sinar Harian
Seorang lelaki lebih sanggup dibaham buaya daripada menyelamatkan dirinya selepas terjun ke dalam Sungai Besut.
Dalam kejadian di Kampung Dengir, dekat sini pada petang Isnin, lelaki itu bertindak demikian kerana takut dicekup penduduk yang menunggu di tebing sungai.
Lelaki berkenaan melarikan diri daripada ditangakap penduduk selepas mengugut seorang warga emas menggunakan sebilah parang.
Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Yusuf, 61, berkata dia meminta penduduk kampung turun ke sungai untuk menangkap suspek ketika di berada di dalam sungai.
Menurutnya, penduduk juga memujuknya naik semula ke darat termasuk memberitahu ada buaya di dalam sungai tersebut.
"Walaupun diugut sedemikian, lelaki tetap berdegil sebaliknya memberitahu tak apa kalau dia mati dibaham buaya sebab dia sudah mengucap," katanya sepertimana laporan Sinar Harian.
Kata Yusof, sebelum suspek lemas, ada penduduk yang menggunakan perahu cuba memujuknya agar membuang golok dan naik ke atas perahu.
Menurutnya, suspek tetap berdegil tidak mahu membuang golok ambil bergerak ke arah perahu yang berada di tengah sungai sebelum dia tenggelam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sebelum kejadian suspek yang beralamat di Kampung Teluk, Alor Lintah dikatakan bertindak mengacukan sebilah golok kepada seorang wanita warga emas berusia 62.
Menurutnya, mangsa Jawiah Ab Rahman, 62, ketika itu berada di tempat ternakan lembunya di tasik, Kampung Dengir apabila tiba-tiba didatangi suspek.
"Suspek didakwa mengacukan golok ke arah mangsa sambil mengugut untuk membunuh mangsa namun mangsa menjerit menyebabkan suspek melarikan diri," katanya.
Mohd Zamri berkata lagi, suspek melarikan diri ke dalam hutan berhampiran sebelum menuju ke sungai selepas mengetahui penduduk kampung mencarinya.
Menurutnya, suspek terlebih dahulu terjun ke bahagian sungai yang cetek dengan golok masih di tangannya dan pada masa sama penduduk berusaha memujuknya agar menyerah dirinya.
"Suspek bagaimanapun berdegil dan bergerak ke tengah sungai yang lebih dalam sebelum tenggelam dan tidak timbul," katanya.
Mohd Zamri berkata lagi, siasatan awal mendapati suspek mempunyai dua rekod dadah iaitu satu kes di Ampang, Selangor dan Kampung Raja, di sini.
Menurutnya, gerakan mencari suspek yang dikhuatiri lemas dilakukan pagi ini membabitkan Pasukan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan orang awam.
#Alor Lintah #Besut #buaya #Jawiah Ab Rahman #Kampung Dengir #Kampung Teluk #lemas #Mohd Zamri Mohd Rowi #warga emas
;