Sanggup datang dari PD ke KL cari telur, peniaga pula dakwa dah dua bulan stok kurang

Hasimi Muhamad
November 30, 2022 17:43 MYT
Bekalan telur ayam kedai runcit khususnya di kawasan perumahan sekitar ibu kota dilihat semakin meruncing. - Foto/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Mana perginya telur ayam?
Ini antara persoalan yang ditimbulkan oleh pembeli dan peniaga kedai runcit di sekitar Kuala Lumpur.
Bekalan telur ayam kedai runcit khususnya di kawasan perumahan sekitar ibu kota dilihat semakin meruncing.
Segelintir pengguna merungut mendakwa berdepan kesukaran mendapatkan bekalan asas itu sejak dua bulan lalu.
Tinjauan Astro AWANI di Sungai Besi, Datuk Keramat, Kampung Baru serta Chow Kit mendapati ada kedai runcit yang terputus bekalan sehingga empat hari.
Pekerja swasta, Anne Chye, 40, berkata kesukaran mendapatkan telur ayam didakwa kerana jumlah yang dihantar pembekal tidak mencukupi.
“Mereka akan cakap kurang fasal banyak tempat semua orang perlukan telur ayam seperti peniaga. Macam saya ini tak berniaga... untuk makan sendiri sahaja.
"Sekarang ini yang ada pun telur Omega sahaja, dan tengok harganya memang tak mampu antara RM18 dan RM19 ke atas," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.
PANTAU KERAJAAN BAHARU. KLIK DI SINI!
Sementara itu, peniaga nasi lemak, Kalsom Bakri, 70, berkata dia terpaksa datang dari Port Dickson, Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur untuk mencari telur ayam.
Krisis Telur Ayam | Peniaga, pelanggan dakwa sudah dua bulan stok kurang
Keadaan itu, ujarnya mengakibatkan perniagaan nasi lemaknya turut terjejas apabila terpaksa mengehadkan jualan.
"Memang betul susah kalau pergi pasar raya pun tak ada. Kalau kita dapat beli pun, ini dapat tiga selalu bagi dua atau kadang satu papan sahaja. Kalau kedai biasa-biasa (runcit), memang tak dapat lah telur.
"Dah dekat dua bulan lebih, nak dekat tiga bulan dah memang susah telur. Sebab saya berniaga, jadi telur pakai banyak seminggu lebih kurang 25 papan," luah Kalsom.
Dalam pada itu peniaga kedai runcit, Siti Zubaidah Salleh, 49, mengakui kekurangan stok telur ayam menyebabkan berlaku kenaikan harga terhadap gred-gred tertentu.
"Saya harap pihak kerajaan dapat menangani isu kekurangan telur ayam ini untuk memudahkan rakyat, dan menggunakan bekalan asas itu," katanya.
Situasi sama turut dilalui oleh seorang lagi peniaga kedai runcit, Ibrahim Abdul Rahman, 53, yang memaklumkan hanya menerima stok dua kali seminggu.
"Tak ada telur, saya pergi ke kedai runcit lain dan pasar raya juga habis. Selain itu, telur ayam di Pasar Borong Selayang pun tiada, itu masalah sekarang.
"Alasan kekurangan telur ayam sebab ladang itu tak ada ayam, itu masalah," katanya.
Seorang lagi peniaga kedai runcit, Iman Izzati Roslan, 20, pula, menambah: "Isu telur ayam ini susah juga sebab dalam seminggu itu tak setiap hari kita dapat telur ayam dan kalau dapat beli pun mungkin dalam 10 papan. Dia (pembekal) hadkan bekalan."
Bekalan Telur | Pembelian panik punca bekalan telur kurang
Semalam Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin tidak menolak kemungkinan pembelian panik dalam kalangan pengguna terhadap telur papan dikenal pasti antara punca kekurangan bekalan mentah itu di ibu negara.
Namun begitu, pihaknya tidak menafikan berlaku kekurangan bekalan telur ketika ini.
#bekalan telur ayam #kos sara hidup #telur kurang #Pantau Kerajaan Baharu
;