Sanggup campak anak elak ditangkap

Sinar Harian
Jun 6, 2018 10:26 MYT
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias pada sidang media mengenai kes motosikal curi di Balai Polis Taman Melawati pada Selasa. - Foto BERNAMA
Seorang penganggur sanggup mencampakkan anak lelakinya berusia dua tahun bagi mengelak dari ditangkap selepas disyaki terbabit dalam kegiatan curi motosikal di Kampung Fajar Hulu Kelang, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, pihaknya berjaya memberkas lelaki berkenaan.
“Manakala keadaan anak lelaki suspek mengalami kecederaan lemban dan calar di belakang badannya akibat tindakan bapanya itu,” katanya.
Hamzah berkata, sebelum kejadian pihaknya sedang melakukan rondaan sebelum ternampak suspek bersama isteri dan anak lelakinya dengan sekumpulan individu lain di padang di kampung berkenaan pada jam 10.15 malam.
“Pasangan itu bertindak cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX5 setelah menyedari kehadiran pihak polis untuk melakukan pemeriksaan,” katanya.
Menurutnya, motosikal yang dinaiki suspek terbabas dan suspek bersama isteri dan anaknya terjatuh.
“Isteri suspek berjaya melarikan diri, manakala suaminya pula bertindak mencampakkan anaknya setelah mendapati dirinya dikepung sepasukan anggota polis.
"Kita akan mengesan wanita itu bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian motosikal,” katanya.
Beliau berkata, polis mendapati suspek berusia 27 tahun itu mempunyai lima rekod jenayah berhubung kes dadah dan satu kes dikehendaki juga berhubung kes dadah.
“Motosikal yang ditunggangi suspek dilaporkan hilang pada April lalu,” katanya.
Dalam kes berasingan pada Isnin lalu, Hamzah memaklumkan pihaknya berjaya menyelesaikan kes kecurian motosikal dalam tempoh empat jam.
Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kecurian motosikal di pada jam 12 malam di tepi jalan di Klang Gate.
“Sepasukan anggota sedang melakukan rondaan terserempak dengan suspek berkenaan di hadapan sebuah rumah di Kampung Kemensah pada jam 4.30 pagi,” katanya.
Menurutnya, suspek juga bertindak cuba melarikan diri, namun polis berjaya memberkasnya selepas berlaku pergelutan suspek dengan anggota polis.
“Semakan ke atas motosikal jenis Honda EX5 itu, kita mendapati suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.
"Kita turut menjumpai nombor pendaftaran asal turut dijumpi di dalam bakul motosikal berkenaan,” katanya.
Kedua-dua suspek berkenaan direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan, kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.
#anak #campak #curi motosikal #Hamzah Alias #Honda EX5 #Kampung Fajar Hulu Kelang #penganggur #polis #rondaan
;