Sanggup botakkan kepala demi kumpul dana bantu keluarga susah, itu cara Syed Saddiq
Madiha Abdullah
Disember 30, 2020 00:57 MYT
Disember 30, 2020 00:57 MYT
KUALA LUMPUR: 'Your hair is your crowning glory.'
Itu frasa yang biasa kita dengar, rambut sebagai mahkota, gambaran personaliti seseorang.
Gaya, warna dan potongan rambut, memberi pelbagai maksud tentang diri seseorang indivdu.
Justeru apabila Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencabar dirinya sendiri untuk membotakkan kepala, ramai yang tertanya-tanya, seriuskah Ahli Parlimen Muar itu?
Bukan menidakkan keberanian atau kesanggupan beliau, tetapi sebagai figura yang turut dikenali kerana ketampanannya, membotakkan kepala mungkin sesuatu yang tidak tercapai dek akal kita semua.
Cabaran #BotakChallenge dimulakan Syed Saddiq, dengan niat mengumpulkan dana RM200,000 bagi membeli komputer riba untuk diberikan kepada pelajar daripada kalangan keluarga yang kurang berkemampuan.
Lima hari selepas cabaran bermula, dana yang dikumpul hampir RM400,000, dan bak kata peribahasa, manusia dipegang pada janjinya.
'Cabaran' Astro AWANI untuk beliau membotakkan kepala secara langsung, disambut tanpa sedikit pun rasa ragu.
Tiba di studio Astro AWANI kira-kira 45 minit sebelum bersiaran langsung, sukar untuk menelah apa yang bermain di fikirannya.
Di mulut, beberapa kali juga terbit perkataan 'menyesal' kerana memulakan cabaran tersebut. Namun ironinya, riak kesal tidak langsung kelihatan di wajahnya.
Mungkin juga, pengalaman sebagai public figure dan ahli politik, membantunya menyembunyikan perasaan sebenar.
Mungkin juga, tumpuannya ketika itu adalah mahu menunaikan janji dan komitmen yang sudah dilafazkan, serta membawa amanah penduduk yang diwakilinya.
"Jujurnya, saya sendiri tak sangka dapat kumpul RM200,000. Tetapi saya berterima kasih kerana rata-rata yang menyumbang bukanlah dalam jumlah yang besar, sebaliknya dalam lingkungan tidak sampai RM50.
"Tetapi walaupun jumlah tidak besar, tetapi besar maknanya," kata beliau sebelum dibotakkan oleh ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz.
Mungkin ketika itu, Sharifah Mahani adalah individu yang lebih terasa gementarnya untuk melihat anaknya dengan imej berbeza daripada kebiasaan.
“Mama besarkan kamu dengan sapu minyak kelapa hampir setiap hari, sekarang nak botak.
"Tak apa, untuk rakyat. Berjuanglah anakku, demi rakyat,” kata Sharifah Mahani, yang nyata memahami perjuangan dan semangat besar anaknya.
Tugas Sharifah Mahani itu kemudiannya diambil alih oleh jurumekap Astro AWANI, Siti Sarah Nazar, yang diberi peranan 'melicinkan' kepala pengasas bersama Parti MUDA itu.
Hampir dua jam 'sesi' membotakkan kepala Syed Saddiq berlangsung, studio Astro AWANI meriah dengan usikan dan gelak tawa, malah empunya badan sendiri nampaknya tenang dan tidak lekang dengan senyuman.
Tatkala ramai berjenaka tentang Yang Berhormat (YB) kini bertukar menjadi Yang Botak (YB), umum tidak dapat mengelak daripada mentaliti negatif sebilangan anggota masyarakat.
Lupakan soal political stunt, seperti yang didakwa ramai. Apa yang penting kini adalah Syed Saddiq berjaya melorongkan satu jalan berteraskan niat, harapan dan tekad, yang kemudian dibuktikan dengan tindakan.
Yang akan menerima manfaat adalah rakyat.
Tiada yang sukar, apalagi mustahil, jika kita berpandukan arah yang betul.
Syabas, 'YB'!
#Syed Saddiq
#BotakChallenge
#Muar
#Parlimen
#pelajar
#dana
#YB
#Yang Botak
#perjuangan
#manfaat
#rakyat
#Komputer Riba
#kurang berkemampuan