Sanggar Puisi Perpaduan 2024 memupuk benih perpaduan melalui bahasa, sastera

Astro Awani
November 5, 2024 10:35 MYT
Menurut Aaron, pelaksanaan program ini juga suatu platform untuk membangkitkan minat dan cinta terhadap puisi, serta memupuk benih perpaduan melalui keindahan bahasa dan sastera dalam kalangan rakyat Malaysia.
KUALA LUMPUR : Sanggar Puisi Perpaduan 2024 bertemakan "Perpaduan Dirai, Bahasa Disantuni" bertujuan untuk menyemarak dan membugarkan budaya membaca menerusi wahana sastera dan budaya, di mana genre puisi dipilih kerana ia merupakan wadah bagi pembentukan identiti, budaya dan jati diri bagi sesuatu bangsa.
Menurut Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, pelaksanaan program ini juga suatu platform untuk membangkitkan minat dan cinta terhadap puisi, serta memupuk benih perpaduan melalui keindahan bahasa dan sastera dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.
"Perpustakaan Negara Malaysia akan menganjurkan program sebegini secara berterusan seperti Festival Puisi Rakyat pada masa akan datang dengan mengundang penyair dari pelbagai etnik dan bahasa untuk mendeklamasikan puisi.
"Saya juga menyeru agar rakyat Malaysia terus menjadikan bahasa dan sastera sebagai jambatan perpaduan serta sebagai wadah yang menghubungkan jiwa-jiwa kita sebagai satu bangsa Malaysia yang harmoni," katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di ibu negara, pada Selasa.
Untuk rekod, pelbagai pengisian telah diadakan bagi menyemarakkan program Sanggar Puisi pada tahun ini seperti Sayembara Novel Perpaduan, Pertandingan Penulisan Sajak, Syair dan Pantun Perpaduan, Sesi Bimbingan Teknik Penulisan dan Penyampaian Puisi Perpaduan, Karnival Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan dan Pameran Puisi Perpaduan telah dilaksanakan mulai 15 Mei hingga 5 November 2024 dengan disertai oleh seramai 1,340 orang.
KPN berharap program seperti ini berupaya meningkatkan lagi kesepaduan dan penyatuan masyarakat Malaysia pada masa akan datang.
Di samping itu, ia sebagai usaha mempelbagaikan aktiviti yang dapat memupuk keharmonian masyarakat melalui penciptaan puisi moden dan tradisional dengan pendekatan semangat perpaduan atau moment of unity.
#Aaron Ago Dagang #KPN #Perpustakaan Negara Malaysia #Sanggar Puisi 2024
;