Sangat rendah! Hanya dua individu terima dos penggalak kedua di Sabah sejak dilancar 22 April lalu

Assim Hassan
April 24, 2022 19:02 MYT
Dr Rose Nani berkata, JKNS juga agresif bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan negeri dengan memberi iklan kepada sesiapa yang ingin mendapatkan vaksin dan dos penggalak.
KUALA LUMPUR: Data Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memaklumkan hanya dua individu yang sudah menerima dos penggalak kedua di seluruh Sabah sejak dimulakan 22 April 2022.
Menyifatkan sambutan itu sangat rendah, Pengarah JKNS, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, kedua-dua penerima tersebut mengambil dos masing-masing di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Kota Kinabalu serta Hospital Duchess of Kent, Sandakan.
Dr Rose Nani menjelaskan, faktor utama perkara ini berlaku adalah rasa senang seseorang individu yang sudah melengkapkan dua dos vaksin atau tiga dos termasuk dos penggalak selain pengaruh berita palsu mengenai vaksinasi.
"Hanya ada dua orang yang diberi dos penggalak kedua... sangat rendah. Malah data penerima dos penggalak pertama di Sabah juga hanya 33 peratus... juga masih rendah. Harapan kita prestasi ini akan meningkat selepas ini," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Ahad.
Tambah Dr Rose Nani, analisa kematian di Sabah dari 1 hingga 16 Januari 2022 mencatatkan 330 kes kematian yang mana 265 kes atau 80 peratus yang meninggal dunia mempunyai ko morbid.
Vaksinasi | Hanya dua individu terima vaksin sejak 22 April
Malah, lebih malang lagi, katanya 55 peratus atau 180 daripada 265 kes tidak pernah menerima vaksin.
"Maksudnya di sini daripada 265 kematian dalam kalangan kes yang mempunyai komorbid, sebahagian daripada mereka tidak pernah mendapatkan vaksin hingga menyebabkan kematian manakala 15 kes lagi tidak menerima dos penggalak.
"Sebab itu JKNS menggalakkan golongan berisiko 60 tahun ke atas, golongan ada ko morbid dan kanak-kanak yang mempunyai penyakit kurang imun untuk mendapatkan vaksin dan dos penggalak," katanya.
Sebanyak 255 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh Sabah terdiri daripada hospital, klinik dan PPV outreach menyediakan vaksin termasuk dos penggalak selain boleh membuat janji temu atau 'walk-in'.
Malah, JKNS juga agresif bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan negeri dengan memberi iklan kepada sesiapa yang ingin mendapatkan vaksin dan dos penggalak.
#dos penggalak kedua #Dr Rose Nani Mudin #Dos penggalak Sabah rendah #pengambilan dos penggalak
;