Sang bedal 'berkunjung' ke Kampung Ria, Kudat
Ruzaini Zulkepli
Disember 21, 2017 13:18 MYT
Disember 21, 2017 13:18 MYT
Empat sekeluarga dikejutkan dengan kehadiran 'tetamu tidak diundang' iaitu seekor buaya sepanjang dua meter dengan berat 40 kilogram yang berenang di bawah jambatan rumah mereka dalam kejadian di Kampung Perpaduan Ria, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8.20 malam pada Rabu, suri rumah, Noraini Pinuh, 29 tahun berkata ketika insiden, dia dikejutkan dengan jeritan jiran di sebelah rumah yang mendakwa terlihat kelibat sang bedal itu sedang berenang di bawah jambatan ke rumah mereka.
Menurut Noraini, mereka baru sahaja tinggal di rumah berkenaan sejak lima bulan lalu dan lokasi itu yang terletak berhampiran sungai.
"Ketika kejadian, kami sekeluarga terkejut apabila ada jiran memberitahu kehadiran buaya berkenaan di bawah jambatan rumah kami.
"Gusar akan keselamatan kami sekeluarga, saya kemudiannya menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kudat untuk meminta bantuan menangkap buaya itu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Sementara itu, Pegawai APM Kudat, Norman Bigol berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.25 malam sebelum sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota dikejarkan ke rumah pengadu untuk menjalankan bantuan kecemasan.
"Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, kita dapati ada seekor buaya berada di bawah jambatan berhampiran rumah pengadu di Kampung Perpaduan Ria.
"Kita mengambil masa kira-kira sejam untuk menangkap reptilia itu dengan menggunakan peralatan khas dan alat penjerut," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi itu berjaya ditamatkan pada jam 9.45 malam dan buaya terbabit sudah diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut.
#APM
#buaya
#jabatan hidupan liar sabah
#jambatan
#Kampung Perpaduan Ria
#keselamatan
#Kudat
#Malaysia
#operasi
#reptilia
#rumah
#sang bedal