#SandakanMemilih: Keselamatan Pantai Timur Sabah, antara hidup dan mati

Harits Asyraf Hasnan
April 28, 2019 19:15 MYT
Beberapa insiden ancaman, penculikan dan pembunuhan melibatkan nelayan tempatan masih lagi berlaku. - Foto Astro AWANI/Sujen
Isu pencerobohan sempadan laut dan keselamatan di perairan pantai timur Sabah menjadi antara kebimbangan penduduk di Sandakan.
Mana tidaknya, beberapa insiden ancaman, penculikan dan pembunuhan melibatkan nelayan tempatan masih lagi berlaku.
Dengan jarak sekitar kurang 10 batu nautika (19km) di antara wilayah laut Malaysia dengan wilayah kepulauan negara Filipina seperti Pulau Tawi-Tawi dan Sibutu, ia menjadikan Sandakan antara kawasan berisiko tinggi berdepan ancaman pencerobohan militan dan pengganas.
Sempena 'Sandakan Memilih', Astro AWANI bertemu wanita berusia awal 50-an, yang hanya mahu dikenali sebagai Hasmah, yang risau akan ancaman keselamatan diri dan keluarganya.
“Kan Sabah ini mudah diceroboh, walaupun orang kata ada anggota keselamatan di sini, kita tengok sahaja. Yang sedia ada pun tidak terkawal, mereka (pendatang asing) boleh sahaja masuk dan keluar dari negara ini.
“Jadi apa maksudnya? Macam mana boleh tembus (masuk ke Malaysia)? Macam mana mereka (anggota keselamatan) jaga? Bukan bidang kita jaga keselamatan ini,” luahnya saat ditanya berkenaan isu ini.
Rasa khuatir, marah dan kecewa itu dikongsi Hasmah pasca tragedi pada 9 April lalu apabila seorang nelayan Malaysia yang menjadi tebusan Kumpulan Abu Sayyaf sejak 6 Disember tahun lalu dilaporkan meninggal dunia.
Mangsa, Jari Abdullah, 34 tahun, dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Bandar Zamboanga, Filipina akibat kecederaan parah terkena tembakan di dada dan kepala.
BACA: Suasana pilu iringi pengebumian mangsa culik Abu Sayyaf
BACA: Nelayan tempatan mangsa culik meninggal dunia - Polis Sabah
Hasmah akui, insiden sebegini menyebabkan dia khuatir akan nasib anak dan suaminya yang mencari rezeki sebagai nelayan.
“Anak saya baru bawa kapal. Dia bekerja dengan bapa dia sudah beberapa tahun. Jadi, dia sudah pandai mencari nafkah kerana dia ada isteri dan anak. Saya sebenarnya risau. Apa yang boleh kita buat, itu sahaja kerja yang dia mampu buat.
“Apabila dia (anak dan suami) sampai di darat, baru kita cakap dia selamat sebab mereka tak berani menarik (memukat). Di luar sempadan salah, dekat perairan pun salah. Serba salah. Jadi macam mana?” luahnya kepada Astro AWANI.
Dia yang tidak mahu mengaibkan tugas agensi penguatkuasa di sempadan maritim negara, berharap supaya ada penyelesaian holistik berkenaan ancaman yang dilalui mereka yang hidup sebagai nelayan.
“Macam mana pegawai keselamatan dan tentera ini (bertugas)? Kita tidak mahu memalukan mereka. Nanti kalau kita cakap macam-macam, mereka akan cakap kita ini tak kenang jasa sebagainya.
“Tapi sebenarnya, bagaimana mereka tangani (isu ini) dengan sewajarnya supaya (perairan negara) tidak diceroboh masuk?” soalnya.
Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata kumpulan Daish kini menjadikan Tawau dan Sandakan sebagai transit untuk memasuki Selatan Filipina serta Rakhine, Myanmar.
Malah, Sandakan dan Tawau juga dilaporkan sebagai lokasi transit penyeludupan dadah sebelum dibawa ke negara jiran.
Selain itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini turut melanjutkan perintah berkurung di kawasan perairan merangkumi tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) sehingga 11 Mei ini.
Astro AWANI akan cuba mendapatkan pihak berkuasa keselamatan dalam menjawab isu ini selain persatuan nelayan yang turut dikhabarkan mendepani isu yang sama.
#Filipina #Jari Abdullah #keselamatan di perairan pantai timur Sabah #Kumpulan Abu Sayyaf #pencerobohan militan #pencerobohan sempadan laut #penculikan dan pembunuhan #pendatang asing #Pulau Tawi-Tawi #Sandakan
;